DAIMON bertugas menjaga dan mendandan mayat sejak beberapa tahun lalu. FOTO Agensi.
DAIMON bertugas menjaga dan mendandan mayat sejak beberapa tahun lalu. FOTO Agensi.
Agensi

London: Seorang kakitangan hospital menghabiskan hari bekerja dengan mayat sekaligus memberikan gambaran menarik mengenai pekerjaannya yang unik.

Portal Mirror UK melaporkan, Daimon Winters, 49, memperoleh gajinya dengan 'menjaga kehormatan' pesakit yang meninggal dunia.

Katanya, pihak hospital perlu menjaga kehormatan pesakit yang meninggal dunia, jadi tugasnya memastikan 'pesakit' selamat dan terhormat dipindahkan dari wad ke bilik mayat.

Tetapi tugasnya tidak terhenti di situ, kerana dia juga perlu mendandan jasad untuk pengebumian mereka dan menerima permintaan daripada ahli keluarga supaya si mati memakai pakaian terbaik mereka.

Daimon dari Wolverhampton memberitahu Birmingham Live, dia melihat dirinya sebagai penghubung antara wad dan bilik mayat dan ini bermakna terdapat proses yang lebih teratur untuk pemindahan si mati dengan selamat.

"Rasanya sangat dihormati untuk menganggap anda melakukan kerja yang baik untuk keluarga yang bersedih dan saya menerima banyak maklum balas positif," katanya.

Daimon sebelum ini bekerja sebagai 'porter' di New Cross Hospital, di Wolverhampton, West Midlands dan selepas mengagumkan majikan dengan kerja berdedikasinya, dia diberi tanggungjawab sebagai penjaga bilik mayat pertama hospital itu.

Peranan baharu itu diwujudkan selepas Daimon melangkah ke hadapan untuk membantu dalam pelbagai aspek kerja menguruskan jasad.

Bapa kepada empat anak itu kini melatih kumpulan kecil 'porter' peranan yang sama dalam tempoh 16 minggu di sekitar penjagaan dan rawatan pesakit yang meninggal dunia.

Kakitangan hospital itu, Dr Wendy Walker berkata, komitmen Daimon untuk menyokong pasukan menguruskan mayat bersama-sama dengan pembangunan kemahiran dan kebolehan baharu, memberi inspirasi kepada pembangunan dan pelaksanaan inisiatif baharu di New Cross Hospital.

"Penjaga bilik mayat adalah jawatan penting untuk memberikan keluarga serta kakitangan wad ketenangan fikiran bahawa orang tersayang mereka dipindahkan dengan selamat dan terhormat dari wad ke bilik mayat hospital.

"Matlamat kami adalah untuk memberi jaminan kepada kakitangan wad dan keluarga, penjagaan dan maruah ahli keluarga mereka terjaga dan diteruskan semasa dalam jagaan kakitangan kami.

"Pengalaman Daimon sebelum ini di rumah mayat menjadikan dia calon yang sesuai untuk peranan ini dan dia membantu menyusun rancangan latihan dan melaksanakannya di seluruh jabatan 'portering'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 12:42 PM