FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Perth: Seorang lelaki yang juga pesakit penjagaan paliatif didakwa masih hidup ketika dia dipindahkan ke bilik mayat di Australia, kata mahkamah koroner.

Mahkamah mengesahkan kes itu sedang disiasat kerana pertama kali dilaporkan berlaku, lapor Business News.

Siasatan juga dijalankan termasuk dakwaan seorang doktor diminta untuk mengundurkan tarikh (backdate) kematian pada sijil kematian lelaki itu dalam percubaan untuk menutup insiden berkenaan.

"Mahkamah koroner pada Isnin lalu memulakan siasatan selepas menerima maklumat mengenai kejadian daripada seorang doktor di Hospital Rockingham.

"Siasatan dijalankan terhadap lelaki berusia 55 tahun itu dibuat bagi mengenal pasti kematiannya," kata jurucakap.

Bagaimanapun, mahkamah tidak mendedahkan sebarang perkembangan siasatan kepada umum.

Pesakit itu dikatakan masih hidup ketika dimasukkan ke dalam beg mayat, tanpa sijil kematian dikeluarkan, pada 5 September lalu.

Seorang doktor di Hospital Rockingham diminta mengesahkan kematian sehari kemudian dan didakwa menemui darah segar pada pakaian hospital lelaki itu.

Mata lelaki itu pula masih celik, manakala posisi anggota badan beralih kedudukan dan beg mayatnya dalam keadaan terbuka, menurut laporan itu.

"Saya percaya darah yang dikesan pada pakaian adalah disebabkan koyakan kulit baharu, kedudukan lengan dan tanda mata tidak konsisten dengan seseorang yang dibedah siasat sebaik tiba di bilik mayat," kata doktor dalam laporan kepada mahkamah.

Kakitangan lain di hospital itu mengesahkan mata lelaki itu sudah ditutup dan pakaiannya sudah ditukar sebelum dipindahkan dari wad ke bilik mayat.

Doktor merekodkan kematian lelaki itu pada 6 September, namun tarikh itu dipersoalkan pegawai pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 12:59 PM