KEMBAR berkenaan. FOTO Agensi
KEMBAR berkenaan. FOTO Agensi
Agensi

London: Seorang ibu di United Kingdom yang mempunyai rahim berbentuk jantung, selamat melahirkan anak kembar.

Kes seumpama itu satu dalam 500 juta kelahiran.

Karen Troy, 25, terkejut apabila mendapati dia mengandung anak kembar dan mempunyai rahim bicornuate (berbentuk jantung) pada Mac 2021.

Portal Metro melaporkan, peluang untuk hamil dengan kelainan kongenital adalah satu dalam 500 juta.

Walaupun ibu kepada tiga anak itu sudah mempunyai seorang anak perempuan yang kini berusia enam tahun, keadaan luar biasa rahimnya itu tidak diketahuinya sebelum ini.

Karen mempunyai kehamilan yang lancar sehingga dia mengalami praeklampsia (komplikasi kehamilan) ketika kandungannya berusia 34 minggu.

Ia apabila tekanan darahnya meningkat dan dia terpaksa dikejarkan untuk pembedahan secara Caesarian.

Anak kembarnya itu, Ryan dan Raelynn, dilahirkan pada 5 September 2021 dengan berat kira-kira 2.26 kilogram dan ditahan di wad selama 27 hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Karen yang juga suri rumah dari Northborough, Massachusetts, Amerika Syarikat berkata, dia lebih bimbang mengenai hakikat mempunyai dua bayi daripada hakikat dia mempunyai rahim berbentuk jantung.

"Saya hanya mahu memastikan mereka baik-baik saja," katanya.

Pada mulanya, Karen tidak percaya diagnosis doktor yang mengesan keabnormalan pada rahimnya, jadi dia menjalani imbasan kedua "untuk memastikan ia benar".

Apabila bayinya lahir, dia sangat beremosi.

"Saya sangat gembira tetapi takut mempunyai dua bayi kecil. Kami sangat teruja apabila membawa mereka pulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 11:27 AM