KAREN Hamidon. FOTO AFP
KAREN Hamidon. FOTO AFP
AFP

Manila: Balu seorang ketua kumpulan militan akan didakwa atas tuduhan menggunakan media sosial untuk merekrut pejuang bertempur selama lima bulan dalam pengepungan di Marawi, selatan Filipina, kata pihak berkuasa.

Karen Hamidon berdepan tuduhan menghasut pemberontakan dengan mendesak pengikut Daish masuk ke Marawi untuk bertempur dalam kes keganasan pertama di Filipina yang dilakukan menerusi rangkaian dalam talian, kata pendakwa raya kanan negara, Peter Ong.

“Karen secara sengaja dan menyalahi undang-undang menghasut orang lain menentang kerajaan Filipina,” kata Ong dalam salinan kertas pertuduhannya yang dilihat APF yang bakal difailkan di mahkamah tempatan.

Penyiasat kerajaan yang melakukan tugas penyamaran dan pemeriksaan forensik menuduh Karen menggunakan aplikasi pesanan Telegram dan WhatsApp, malah dia dikatakan ‘produktif dalam merekrut dan melakukan aktiviti promosi bagi kegiatan Daish.’

Dalam pesanan itu, dipetik penyiasat negara melalui Telegram, Karen berkata: “Daish menjemput anda menyertainya di Filipina. Kami maklum pintu ke imigresen dibuka untuk bandar Marawi dan Mindanao.”

Karen menafikan tuduhan terhadapnya dan sehingga bulan lalu menegaskan dia sekadar pendakwah yang menggunakan media sosial untuk tujuan agama.

Dia ditahan di pinggir Manila pada Oktober lalu dan sejak itu berada dalam tahanan di ibu negara.

Wanita itu berkahwin dengan Mohammad Jaafar Maguid iaitu pengasas dan pemimpin Ansarul Khilafa Philippines (AKP) yang juga pro-Daish di kawasan bergolak di selatan Filipina.

Mohammad Jaafar juga pernah menjadi dalang pengeboman bandar Davao yang mengorbankan 15 orang, tahun lalu.

Tentera berkata, mereka berjaya membunuh Mohammad Jaafar pada Januari lalu.

Karen turut dituduh merekrut rakyat India untuk menyertai Daish dan kerajaan India sudah meminta bantuan Filipina menyiasat terhadap kes itu, menurut resolusi jabatan keadilan.

Beratus penduduk tempatan dan luar melafazkan sumpah taat setia kepada kumpulan militan itu dalam pertempuran di Marawi iaitu bandar majoriti Islam sejak Mei lalu.

Ia mencetuskan perang bandar yang mengorbankan lebih 1,100 nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 3:53 AM