FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

London: Jururawat di seluruh United Kingdom (UK) mengundi untuk mogok dalam tindakan kebangsaan pertama mereka berhubung pertikaian gaji, kata laporan media pada Ahad.

Undian mogok dalam kalangan lebih 300,000 ahli Kolej Kejururawatan Diraja (RCN) adalah yang terbesar dalam sejarah 106 tahun kesatuan itu.

"Tindakan mogok kami adalah untuk pesakit seperti juga untuk jururawat, kami mendapat sokongan mereka dalam melakukan ini," kata setiausaha Pat Cullen.

Walaupun pengiraan undi masih dijalankan, agensi berita PA domestik melaporkan, pegawai RCN percaya cukup ahli akan mengundi untuk tindakan perindustrian musim sejuk yang akan berlangsung dalam beberapa minggu, mungkin sebelum Krismas.

RCN berkempen untuk kenaikan gaji sebanyak lima peratus susulan inflasi yang melambung tinggi.

Sifat sebenar mogok itu masih belum ditentukan, tetapi berkemungkinan mengganggu operasi dan janji temu.

"Ini akan menyaksikan majoriti perkhidmatan dikeluarkan, dan barisan piket di seluruh negara," kata sumber kesatuan kepada akhbar Observer.

Ia juga datang ketika Perdana Menteri Rishi Sunak dan Menteri Kewangan Jeremy Hunt sudah pun menghadapi cabaran besar untuk menangani hutang 50 bilion pound sterling dalam kewangan awam.

UK yang sedang bergelut dengan krisis kos sara hidup menyaksikan gelombang tindakan perindustrian dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Puluhan ribu kakitangan dalam pelbagai industri, daripada sistem pos dan undang-undang ke pelabuhan dan telekomunikasi, melancarkan mogok di seluruh Britain sejak musim panas.

Analisis terkini menunjukkan gaji jururawat berpengalaman jatuh sebanyak 20 peratus sejak 2010, dan RCN berkata, niat baik dan kepakaran kakitangan kejururawatan sedang "dieksploitasi" oleh kerajaan di seluruh UK.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 12:12 PM