FOTO yang dimuat naik di Twitter menunjukkan jet pejuang mengiringi pesawat membawa pasukan bola sepak Poland. FOTO Twitter
FOTO yang dimuat naik di Twitter menunjukkan jet pejuang mengiringi pesawat membawa pasukan bola sepak Poland. FOTO Twitter
Agensi

Moscow: Pasukan bola sepak kebangsaan Poland diiringi ke Qatar dengan dua jet pejuang F-16, baru-baru ini, ketika mereka menuju negara itu untuk menyertai Piala Dunia.

Ia berikutan kejadian dua warga Poland terbunuh oleh peluru berpandu yang melanda sebuah kampung di sempadan Poland-Ukraine, baru-baru ini, menyebabkan tindak balas antarabangsa.

Portal Metro UK melaporkan, rakaman jet pejuang yang mengiringi pesawat itu disiarkan di akaun Twitter rasmi pasukan Poland.

"Kami diiringi ke sempadan selatan Poland dengan pesawat F16," kata ciapan itu.

Foto pasukan Poland yang diketuai penyerang Barcelona, ​​Robert Lewandowski itu kemudian dirakam ketika mereka meninggalkan kapal berkenaan selepas selamat mendarat di ibu negara Qatar, Doha.

Serangan peluru berpandu di bandar sempadan Przewodów adalah insiden pertama ketika perang Rusia dan Ukraine.

Ia memberi kesan secara langsung kepada anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) sekali gus mencetuskan kebimbangan ia mungkin meluaskan skop konflik.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky kemudiannya menggelar serangan itu sebagai 'peningkatan yang sangat ketara' dan berkata 'tidak syak lagi' peluru berpandu itu datang dari Rusia.

Walaupun punca letupan itu belum disahkan secara rasmi, risikan terbaru AS mencadangkan serangan itu mungkin berpunca selepas sistem pertahanan udara Ukraine yang memintas peluru berpandu jelajah Rusia.

Presiden Poland Andrzej Duda berkata, peluru berpandu Ukraine berkemungkinan besar menyebabkan 'kemalangan malang' itu.

Kata-katanya disokong oleh Setiausaha Agung Nato, Jens Stoltenberg, yang juga membayangkan bahawa tidak ada tanda-tanda serangan sengaja terhadap Poland dari Rusia.

Selepas mesyuarat tergempar, Nato akhirnya bersetuju bahawa tanpa mengira sumber letupan, Rusia akhirnya harus dipersalahkan atas kematian dua orang awam itu.

Tetapi di sebalik ketidakpastian, Poland kelihatan tidak mahu memperjudikan keselamatan pasukan kebangsaannya.

Ia kemudian melancarkan pengiring pertahanan untuk memastikan pemain pasukan bola sepak kebangsaannya mendarat dengan selamat di Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 11:33 AM