RUMAH penduduk terbakar di Severodonetsk, wilayah Donbas. FOTO AFP
RUMAH penduduk terbakar di Severodonetsk, wilayah Donbas. FOTO AFP
AFP

Kyiv: Ukraine pada Rabu mengarahkan penduduk di wilayah timur negara itu supaya berpindah segera atau berdepan maut kerana khuatir dengan serangan Rusia.

"Gabenor wilayah Kharkiv, Lugansk dan Donetsk menyeru penduduk untuk meninggalkan wilayah ini dan melakukan segala-galanya untuk memastikan pemindahan berlaku secara teratur," kata Timbalan Perdana Menteri, Iryna Vereshchuk di Telegram.

Gesaan untuk pemindahan segera dibuat ketika Ukraine mendapati tentera Rusia sedang berkumpul semula untuk melancarkan serangan baharu di timur negara itu selepas berundur dari wilayah Kyiv.

Vereshchuk meminta penduduk untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan memberi amaran Kyiv tidak dapat membantu mereka selepas serangan.

"Ia (pemindahan) perlu dilakukan sekarang sebelum mereka diserang dan berdepan ancaman bunuh. Tiada apa yang mereka dapat lakukan nanti dan kami juga tidak akan dapat membantu.

"Adalah perlu untuk berpindah selagi kemungkinan serangan ada.. Buat masa ini, kemungkinan itu ada," tambahnya.

Kremlin mengisytiharkan bahawa Donbas, Ukraine kini menjadi keutamaan bagi tentera Rusia.

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) percaya Moscow berhasrat untuk menguasai seluruh wilayah Donbas di timur Ukraine dengan tujuan mewujudkan koridor dari Rusia untuk ke Semenanjung Crimea yang dirampasnya daripada Ukraine pada 2014.

Dalam perkembangan lain, serangan Rusia berhampiran pusat pengedaran kemanusiaan di wilayah timur Ukraine Donetsk, pada Rabu membunuh empat individu yang maut selepas terkena tembakan.

Gabenornya, Pavlo Kyrylenko turut mengesahkan empat lagi mangsa ditemukan cedera.

"Musuh melepaskan tembakan ke arah orang awam Vugledar yang datang untuk menerima bantuan kemanusiaan pada waktu pagi.

"Empat individu maut dan empat lagi cedera akibat tembakan dilepaskan itu," tulisnya menerusi hantaran di Facebook.

Serangan itu berlaku sejurus selepas Moscow menarik balik tenteranya dari bandar utama di tengah Ukraine dan mengumumkan ia akan menumpukan serangan tenteranya untuk menguasai wilayah timur Donbas.

Kyrylenko menyiarkan imej ke akaun Telegram rasmi menunjukkan apa yang kelihatan seperti bahagian dalam bangunan sekolah dengan tingkapnya diterbangkan akibat serangan, dan beberapa meja terbalik.

Pasukan penyelamat berada di tempat kejadian dan gambar menunjukkan mereka merawat individu terperangkap dalam serangan itu.

Bandar Donetsk, ibu kota pentadbiran wilayah itu, terletak sekitar 55 kilometer dekat timur laut Vugledar dan dikawal oleh pemisah pro-Moscow sejak 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 11:29 AM