TENTERA Rusia mengawal bas yang membawa pejuang Ukraine yang menyerah diri dari kepada tentera Rusia di kilang keluli Azovstal di Mariupol. FOTO EPA
TENTERA Rusia mengawal bas yang membawa pejuang Ukraine yang menyerah diri dari kepada tentera Rusia di kilang keluli Azovstal di Mariupol. FOTO EPA
Reuters

Kyiv: Lebih 250 pejuang Ukraine di kilang keluli Azovstal di Mariupol menyerah diri kepada tentera Rusia selepas berminggu-minggu melakukan penentangan.

Tindakan itu menamatkan kepungan paling dahsyat dalam perang di Ukraine dan membenarkan Presiden Rusia, Vladimir Putin meraih kemenangan yang jarang berlaku dalam kempen ketenteraannya.

Beberapa penganalisis kempen Rusia berkata, walaupun Kremlin bersiap sedia untuk mengawal sepenuhnya Mariupol, ia menghadapi kemungkinan kekalahan dalam usahanya untuk menakluk semua wilayah Donbas di timur Ukraine kerana kekurangan tenaga manusia.

Bas meninggalkan kilang keluli itu lewat Isnin, menerusi konvoi yang diiringi kenderaan perisai Rusia.

Lima daripadanya tiba di bandar Novoazovsk yang dikuasai Rusia, di mana Moscow memaklumkan pejuang yang cedera akan dirawat.

Tujuh bas yang membawa pejuang Ukraine dari Azovstal tiba di penjara baru dibuka semula di bandar Olenivka yang dikuasai Rusia berhampiran Donetsk, kata seorang saksi Reuters.

Menerusi video Reuters, terdapat beberapa wanita menaiki sekurang-kurangnya satu daripada bas di Olenivka.

Beberapa wanita memakai pakaian seragam hijau zaitun, begitu juga dengan kebanyakan lelaki.

Kesemua mereka kelihatan keletihan dengan salah seorangnya berehat dekat beg sandang yang disusun di atas lantai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 10:14 AM