Sebahagian pelarian Ukraine tiba di stesen kereta api di Przemysl, Poland semalam. Foto AFP
Sebahagian pelarian Ukraine tiba di stesen kereta api di Przemysl, Poland semalam. Foto AFP
Agensi

Moscow: Jumlah orang awam yang maut dan cedera terus bertambah di Ukraine ketika tentera Russia terus menyerang negara itu dari semua arah.

Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Michelle Bachelet berkata, sekurang-kurangnya 102 orang awam termasuk tujuh kanak-kanak dibunuh di Ukraine sejak Russia menceroboh masuk ke negara itu pada Khamis lalu.

Menurutnya, jumlah sebenar orang awam yang terbunuh mungkin jauh lebih tinggi.

"Kebanyakan orang awam ini terkorban akibat bahan letupan yang boleh menjejas kawasan yang besar, termasuk serangan daripada meriam dan sistem roket serta serangan dari udara," kata Bachelet kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva.

Namun, terdapat sinar harapan apabila Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengumumkan mengenai rancangannya mahu bertemu dengan delegasi Russia di sempadan antara Ukraine dan Belarus selepas bercakap dengan pemimpin Belarus, Alexander Lukashenko kelmarin.

Delegasi dari Kiev tiba untuk mengadakan perbincangan dengan perunding Russia pada hari kelima Kremlin menceroboh Ukraine semalam, Ukraine meminta gencatan senjata dan agar Russia segera menarik askarnya.

Menerusi satu kenyataan, Zelensky berkata, delegasi Ukraine itu tiba di sempadan Ukraine-Belarus untuk menyertai perbincangan dengan wakil Russia.

"Isu utama dalam perbincangan ini adalah gencatan senjata dan agar Russia segera menarik balik askarnya dari Ukraine," katanya.

Zelensky menggesa askar Russia meninggalkan senjata mereka dan mengundur diri.

"Tinggalkan peralatan anda dan keluar dari sini. Jangan percaya komander anda. Selamatkan nyawa anda," kata beliau kepada tentera Russia, dengan mendakwa bahawa lebih 4,500 askar Russia sudah terkorban.

Zelensky sebelum ini berkata, beliau tidak akan mengadakan pertemuan dengan Russia di wilayah Belarus, di mana askar Russia dikerah sebelum mereka menceroboh masuk ke Ukraine dari sempadan utaranya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 11:00 AM