ORANG ramai memakai pelitup muka di London. FOTO EPA
ORANG ramai memakai pelitup muka di London. FOTO EPA
AFP

London: Jumlah pesakit Covid-19 yang dirawat di hospital London meningkat kepada lebih 10,000 orang.

Jumlah itu rekod tertinggi sejak United Kingdom (UK) merekodkan kes tinggi baharu pada Mac.

Berdasarkan data dikemas kini kerajaan pada pagi semalam, seramai 10,462 individu yang dijangkiti Covid-19 dimasukkan ke hospital.

UK turut melaporkan rekod baharu, 183,037 jumlah kes harian dalam tempoh 24 jam kerana negara itu menghadapi lonjakan besar disebabkan varian baharu, Omicron.

Perdana Menteri, Boris Johnson ketika mengadakan tinjauan di pusat vaksin di tengah London, menggesa orang ramai menjalankan ujian sebelum bertemu rakan dan sentiasa berwaspada ketika menyertai pesta Tahun Baharu.

Beliau juga menggesa orang ramai mengambil suntikan dos penggalak berikutan majoriti mereka yang dimasukkan di unit rawatan rapi (ICU) hospital tidak mengambil dos penggalak.

Data pakar perubatan berkata, 90 peratus daripada jumlah mereka yang dirawat di ICU tidak mengambil dos penggalak.

Lebih 33 juta orang di UK sudah mengambil suntikan penggalak dengan Johnson berjanji setiap orang dewasa akan mendapat janji temu mereka penghujung tahun ini.

Namun, wujud kebimbangan kekurangan kit ujian kendiri disebabkan permintaan yang banyak.

Agensi Keselamatan Kesihatan UK menerusi Twitter berkata, pihaknya merekodkan penghantaran sejumlah kit ujian dan lebih banyak lagi akan tersedia.

UK antara negara paling teruk terjejas di Eropah dengan angka kematian mencecah 148,089 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 10:17 AM