FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

London: Seorang lelaki yang obses dengan Covid-19 dipenjarakan lebih dua tahun selepas mencetuskan ketakutan bom di kilang vaksin AstraZeneca.

Anthony Collins, 54, dari Kent di tenggara England, menghantar bungkusan yang mencurigakan ke kilang di Wales pada Januari.

Lelaki itu juga cuba menghantar bungkusan ke sebuah makmal di bandar Wuhan, China; 10 Downing Street dan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Semua bungkusan itu berjaya dipintas pihak berkuasa, namun yang dihantar ke kilang AstraZeneca memerlukan campur tangan unit pemusnah bom tentera.

Peguam bela Janice Brennan mendedahkan, Collins didiagnos dengan gangguan personaliti dan sudah lama mempunyai minat obsesif terhadap Covid-19 dan vaksin.

"Dia seorang individu yang kesepian dan bosan yang merasa sangat sukar untuk menguruskan kehidupan normal," katanya ketika perbicaraan di sebuah mahkamah di Maidstone, Kent.

Hakim David Griffith-Jones berkata, perkara itu tidak boleh dijadikan alasan menafikan kelakuannya.

"Sengaja menghantar bom palsu dengan mengetahui secara baik ia akan menyebabkan ketakutan dan kekacauan," katanya.

Beliau menjatuhkan hukuman penjara 27 bulan kepada Collins bermula dari tarikh reman atas pertuduhan menghantar bungkusan melalui pos dengan niat untuk menimbulkan kepercayaan ia mungkin akan meletup.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 9:23 AM