BERNAMA

Madrid: Lava dari gunung berapi Cumbre Vieja di pulau La Palma di Kepulauan Canary, melitupi kira-kira 400 hektar tanah dan memusnahkan hampir 1,000 bangunan, menurut Jabatan Keselamatan Negara Sepanyol dan sistem Copernicus Kesatuan Eropah (EU).

Menurut Copernicus itu adalah maklumat terkini setakat Isnin, sementara menunggu penilaian baharu melalui gambar satelit dilakukan, lapor Agensi Berita Itali (Ansa).

Kawasan perairan seluas 30 hektar, sudah dipenuhi dengan lava.

Pada petang Ahad, sebahagian puncak utama gunung berapi itu runtuh (dianggap normal oleh pakar) menyebabkan peningkatan aliran lava, kata pakar gunung berapi kepada media Sepanyol.

LAVA dari gunung berapi Cumbre Vieja di pulau La Palma mengalir ke Lautan Atlantik. FOTO AFP
LAVA dari gunung berapi Cumbre Vieja di pulau La Palma mengalir ke Lautan Atlantik. FOTO AFP

Pemantauan awal menunjukkan lava dan batuan yang melebur mengalir ke arah lokasi yang sama seperti sebelum ini, dan belum ada laporan mengenai kawasan baharu.

Pada Ahad, Perdana Menteri Pedro Sanchez mengumumkan kira-kira 200 juta euro diperuntukkan untuk membantu "pembinaan semula" La Palma.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 12:04 PM