PEMANDANGAN senja menakjubkan di Jeju.
PEMANDANGAN senja menakjubkan di Jeju.
Zeira Karim Jelani


KALAU Langkawi pulau percutian bagi aktiviti bersama keluarga dan berbulan madu di Malaysia, di Korea Selatan pula ialah Pulau Jeju.

Mengenai Pulau Jeju pula, lokasi pulau ini terletak dalam Wilayah Selatan Jeolla bukan saja terkenal dalam kalangan orang luar

malah orang Korea Selatan sendiri gemar mengabadikan kenangan atau meraikan hari istimewa mereka di lokasi percutian terbabit.

Saiznya lebih besar berbanding Langkawi manakala jarak dari hujung pulau ke hujung lain dianggarkan kira-kira 73 kilometer dan ideal untuk percutian selama empat hari tiga malam seperti dirancang penulis.

LAVA Tube Cave bukti tinggalan aktiviti gunung berapi berusia jutaan tahun.
LAVA Tube Cave bukti tinggalan aktiviti gunung berapi berusia jutaan tahun.

Tertarik dengan visual panorama indah pulau berkenaan dalam drama Korea selain mendengar 'buah mulut' orang yang pernah berkunjung ke destinasi berkenaan, penulis mengambil kesempatan merealisasikan impian menjejak kaki ke pulau berkenaan pada Julai 2018.

Pengembaraan penulis kali ini disertai seorang teman yang mahu memanfaatkan cuti berkenaan bagi menghilangkan tekanan penat bekerja.

Untuk sampai ke destinasi menarik itu, kami menggunakan penerbangan tambang murah AirAsia yang ada perjalanan terus ke Jeju. Penerbangan kami sekitar enam hingga tujuh jam.

PENULIS (kanan) bersama rakan menikmati hidangan Korea di salah sebuah restoran yang terkenal dengan masakan hairtail fish.
PENULIS (kanan) bersama rakan menikmati hidangan Korea di salah sebuah restoran yang terkenal dengan masakan hairtail fish.

Sebelum bercuti, saya dan rakan membuat persiapan termasuk kajian lokasi tarikan yang perlu dikunjungi sepanjang berada di sana.

Disebabkan kami tidak mengambil khidmat ejen dan pemandu pelancong, aspek paling penting ialah perlu aturkan itenari sebaik-baiknya supaya semua tempat ingin sampai dapat dipenuhi.

Antara lokasi wajib bagi mereka yang tidak pernah sampai ke Jeju ialah meniti pemandangan dari pesisiran tebing tinggi di Seopjikoji.

AIR terjun Jeongbang bersambung dari air laut.
AIR terjun Jeongbang bersambung dari air laut.

Terdapat laluan mendaki sehingga ke Bukit Seopjikoji yang rumah api antara tarikan ikonik boleh menghiasi gambar Instagram.

Jangan lupa juga kunjungi Lava Tube Cave yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) kerana terbentuk daripada aktiviti gunung berapi jutaan tahun.

Pendek kata Jeju ini sangat sesuai buat mereka yang gemarkan aktiviti berunsurkan alam semula jadi.

Setiap tarikan mempunyai keunikan tersendiri termasuk Air Terjun Jeongbang yang mempunyai ketinggian 23 meter. Lokasi ini menjadi tarikan kerana air terjun bersambung dari air laut yang masin.

RUMAH api di penghujung trek mendaki Bukit Seopjikoji.
RUMAH api di penghujung trek mendaki Bukit Seopjikoji.

Kebetulan kami tiba ketika musim luruh, jadi bagi bandar kecil seperti Jeju kami dapat nikmati pemandangan yang cantik dengan tenang. Berbeza andai pelancong datang ke Jeju pada musim bunga kerana lokasi ini dikatakan padat dan sibuk dengan kunjungan orang tempatan menikmati pemandangan musim bunga yang dikatakan antara tercantik di negara itu.

Kami memandu sendiri dan untuk cari tempat ingin dituju sebenarnya mudah iaitu menggunakan aplikasi Wave atau Google Map cuma kesukaran ialah kedudukan pemanduan berbeza.

Pemanduan di sebelah kiri menyebabkan kami sering tersilap laluan dan hampir masuk ke jalan arah bertentangan.

Rakyat Pulau Jeju mesra, tetapi kami sukar berbual dengan mereka kerana masalah bahasa. Sebaik-baiknya siapkan diri mempelajari ayat atau perkataan mudah.

Jeju juga adalah syurga makanan buat mereka menyukai makanan laut. Tidak susah untuk cari hidangan halal kerana boleh rujuk dengan ulasan blogger atau perkongsian individu yang pernah sampai menerusi Internet.

Seperti destinasi lain di Korea Selatan yang produk kecantikan antara industri utama tempatan, Jeju juga menawarkan hal yang sama sebagai cenderahati untuk dibawa pulang. Di sini terdapat Innisfree Jeju House untuk mereka mencari produk kecantikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 6:14 AM