FOTO pada 14 Januari menunjukkan letusan gunung berapi berhampiran Grindavik, barat Iceland. FOTO AFP
FOTO pada 14 Januari menunjukkan letusan gunung berapi berhampiran Grindavik, barat Iceland. FOTO AFP
KEADAAN terkini gunung berapi berhampiran Grindavik, barat Iceland. FOTO AFP
KEADAAN terkini gunung berapi berhampiran Grindavik, barat Iceland. FOTO AFP
AFP

Reykjavik: Letusan gunung berapi yang memusnahkan rumah penduduk di pelabuhan perikanan Iceland, baru-baru ini, mengesahkan bahawa garis sesar di negara itu kembali aktif.

Situasi itu memberi ancaman aliran lava untuk tahun-tahun akan datang.

Ahad lalu, 'lava bercahaya' melitupi beberapa rumah di pinggir bandar Grindavik, barat daya ibu kota Reykjavik.

Hampir seluruh penduduk di pekan nelayan itu sudah dipindahkan kerana ancaman letusan bulan lalu.

Bagaimanapun, aktiviti terbaharu gunung berapi itu sudah berkurangan, kata pihak berkuasa di negara Atlantik Utara itu pada Isnin lalu.

Pulau itu terletak di kawasan rabung Atlantik Tengah iaitu rekahan di dasar lautan yang memisahkan plat tektonik Eurasia dan Amerika Utara.

Letusan pada Ahad adalah yang kelima dalam masa kurang daripada tiga tahun di Semenanjung Reykjanes.

Terdahulu, pada bulan lepas dan Ahad lalu, gunung berapi meletus dan kedua-dua kejadian mengancam Grindavik.

Ahli volkanologi dari Institut de Physique du Globe de Paris, Perancis memberitahu AFP bahawa ini menunjukkan bahawa "magma sangat dekat dengan permukaan, bersedia untuk meletus".

"Penipisan kerak bumi berhampiran garis sesar di bawah Iceland akan membantu mendorong 'pelepasan tekanan'' magma ini," katanya.

Lokasi garis sesar yang rapuh ini berkemungkinan akan terus menjadi masalah. Ia menimbulkan ancaman kepada loji geoterma Svartsengi yang terletak berhampiran kerana ia membekalkan elektrik dan air kepada 30,000 penduduk di Semenanjung Reykjanes atau bekalan untuk satu persepuluh daripada penduduk Iceland.

Letusan terbaharu itu juga memaksa penutupan Blue Lagoon, destinasi pelancongan popular berhampiran Grindavik yang terkenal dengan spa geotermanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 3:46 PM