AFP

Madrid: Sekurang-kurangnya 100 kediaman musnah akibat lava susulan letusan Gunung Berapi Cumbre Vieja, Kepulauan Canary, Sepanyol, Ahad lalu.

Pihak berkuasa tempatan berkata, letusan gunung berapi berkenaan memaksa kira-kira 5,500 penduduk meninggalkan kawasan berkenaan.

Gunung Berapi Cumbre Vieja meletus, pada petang Ahad lalu, mengakibatkan asap tebal dan meletuskan lava mengalir di lereng gunung di pulau La Palma itu.

"Berita baik apabila kami tidak kehilangan sebarang nyawa," kata Ketua Wilayah Kepulauan Atlantik yang terletak di laut lepas pesisir pantai Maghribi, Angel Victor Torres.

Penduduk, Yahaira Garcia, 34, meninggalkan kediamannya di sebelah barat laut di kaki gunung itu sebelum letusan berkenaan.

"Rumah saya bergegar macam hendak runtuh.

"Saya bergegas ke rumah ibu bapa saya membantu menyelamatkan mereka.

"Kami juga sempat menyelamatkan empat kambing, dua babi, 20 ayam, 10 arnab, empat anjing dan seekor kura-kura," katanya.

LETUSAN Gunung Berapi Cumbre Vieja. FOTO EPA
LETUSAN Gunung Berapi Cumbre Vieja. FOTO EPA

Katanya, walaupun mereka selamat, namun masih bimbang dengan nasib mereka berikutan letusan gunung berapi itu boleh berterusan sampai tiga bulan.

Sementara itu, Institut Vulkanologi Pulau Canary, Involcan, aliran lava berkenaan bergerak kira-kira 700 meter sejam dan bersuhu hampir 1,000 darjah celsius.

Pakar meramalkan, lava itu akan tiba di pantai, kira-kira 8 malam.

Ahli Majlis Los Llanos de Ariadne, Lorena Hernandez Labrador berkata, letusan di pulau yang mempunyai 85,000 penduduk itu, pertama kali berlaku dalam tempoh 50 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 3:31 PM