BAYI berkenaan terpaksa dikejarkan ke hospital. FOTO Agensi
BAYI berkenaan terpaksa dikejarkan ke hospital. FOTO Agensi

Moscow: Seorang bayi lelaki kehilangan ibu jari akibat dicakar seekor harimau selepas ibunya mendukungnya terlalu dekat dengan kandang haiwan itu.

Kejadian berlaku di Taman Safari The Taigan di Crimea, kawasan tumpuan yang memberi peluang kepada pengunjung untuk berada dekat dengan haiwan di situ.

The Sun melaporkan, Anastasia G, 22, tidak menyedari anaknya dicakar harimau berkenaan ketika berdiri di belakang pagar, dengan jarak hanya 30 sentimeter dari kandang.

"Semuanya baik-baik saja, sehinggalah saya sedar ada darah yang banyak dan anak saya kehilangan ibu jarinya.

"Dia menjerit menyebabkan saya terkejut dan tidak tahu hendak buat apa dan terus berlari untuk mendapatkan pertolongan," katanya.

Menurutnya, ambulans kemudian membawa anaknya itu ke hospital di Simferopol.

"Saya tidak mendengar bunyi apa-apa untuk menyedarkan saya bahawa saya dalam bahaya.

"Pelawat lain yang melihat kejadian berkata, seekor harimau melompat dari arah atas, dan mencakar lengan anak saya," katanya.

Pengurusan taman safari itu belum memberikan komen mengenai kejadian itu.

Sumber penguatkuasaan undang-undang berkata, ibu berkenaan menafikan dia melepasi halangan keselamatan.

Taman berkenaan dikendalikan penjinak singa terkenal Oleg Zubkov, yang membolehkan beberapa pengunjung mendekati harimau.

Peminat menggelarnya pakar haiwan dengan kebolehan misteri dan mendapat liputan media di seluruh dunia.

Anastasia berhasrat untuk membuat tuntutan terhadap taman itu kerana cuai dalam aspek keselamatan pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 6:50 AM