CHARLOTTE Leitch. FOTO Agensi
CHARLOTTE Leitch. FOTO Agensi
Agensi

London: Seorang kakitangan pentadbiran yang dipecat kerana hamil menang tuntutan pampasan berjumlah 14,885 pound sterling (kira-kira RM79,000) di mahkamah di timur London.

Charlotte Leitch, 34, berasa terhina dan tidak dihargai apabila dipecat selepas memberitahu kehamilannya kepada pihak pengurusan.

Wanita itu memegang jawatan baharu dengan bayaran 20,000 pound sterling (kira-kira RM106,000) setahun di syarikat pembekal sistem keselamatan beberapa minggu sebelum diberhentikan.

Berikutan tindakan syarikat, Leitch memfailkan saman terhadap majikannya yang berpangkalan di Essex kerana berikutan diskriminasi dan pemecatan tidak adil.

Tribunal pekerjaan memberikan pampasan 14,885 pound sterling (kira-kira RM79,000) kepada Leitch selepas mendapati wanita itu dipecat kerana hamil.

Hakim Nicola Calder berkata, syarikat mengambil kesempatan atas keadaan emosi Leitch yang memberitahu pernah mengalami keguguran dan bimbang akan kehamilan baharunya.

Semasa perbicaraan, mahkamah diberitahu Leitch menyertai syarikat itu pada Mei 2021 sebagai pembantu tadbir dan bimbang mengenai kontrak yang belum ditandatangani walaupun sudah melebihi tempoh, lalu memberitahu dirinya hamil.

Tribunal pekerjaan memaklumkan ketika mesyuarat, dia memberitahu kebimbangan mengenai keadaan bayinya kerana pernah mengalami peristiwa trauma kehamilan sebelum ini, termasuk lapan kali keguguran.

Berikutan itu, majikan mendakwa Leitch tidak berhak mendapat cuti bersalin kerana belum menandatangani kontrak baharunya dan tidak perlu dikekalkan.

Syarikat memutuskan untuk menamatkan kerja Leitch kerana belum menandatangani kontrak selain bimbang prestasi kerjanya.

Tribunal menolak perkara ini dan membuat kesimpulan bahawa kedua-dua dakwaan Leitch mengenai diskriminasi kehamilan dan pemecatan yang tidak adil, adalah berasas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 4:09 PM