LEO Grasset. FOTO YouTube
LEO Grasset. FOTO YouTube
Agensi

London: Sebuah agensi pemasaran dikesan cuba mengupah YouTuber untuk menyebarkan berita palsu mengenai vaksin Covid-19.

Rancangan mereka bagaimanapun gagal selepas berita mengenainya tersebar, lapor The Sun.

Seorang YouTuber dan wartawan Jerman, Mirko Drotschmann berkata, kegiatan itu bermula dengan kiriman e-mel.

Lazimnya, dia menolak tawaran yang meminta mengiklankan produk mereka kepada lebih dari 1.5 juta pengikutnya.

Namun, tawaran penajaan diterima pada Mei lalu amat berbeza.

Agensi pemasaran pempengaruh (influencer), Fazze menawarkan bayaran mempromosikan apa yang dikatakannya adalah maklumat dibocorkan.

Ia mengenai dakwaan angka kematian dalam kalangan orang yang mendapat vaksin Pfizer adalah hampir tiga kali ganda daripada vaksin AstraZeneca.

Bagaimanapun, maklumat diberikan sama sekali tidak benar.

Mirko sedar dia diminta menyebarkan maklumat tidak jelas untuk mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap vaksin ketika penularan Covid-19.

"Saya terkejut, lalu saya ingin tahu apa yang ada di balik semua itu," katanya.

Di Perancis, YouTuber sains, Leo Grasset pula menerima tawaran 2,000 Euro (kira-kira RM10,017), jika dia bersetuju turut serta dalam aktiviti itu.

Kedua-duanya terkejut dengan tawaran berkenaan dan berpura-pura berminat.

Sebaliknya, mereka mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai apa yang harus diulas di dalam video jika bersetuju dengan tawaran itu.

Menurut mereka, individu berkenaan mahu mereka 'berpura-pura memberikan nasihat spontan mengenai isu itu tanpa menyebut penaja video berkenaan.'

Selain itu, mereka dibekalkan dengan pautan untuk berkongsi artikel yang memaparkan angka tertentu untuk menunjukkan bahawa vaksin Pfizer adalah berbahaya.

Bagaimanapun, media sosial itu mensyaratkan individu mendedahkan jika kandungan video menerima tajaan daripada mana-mana pihak.

Undang-undang sama terpakai di Perancis dan Jerman.

Sejak pendedahan Mirko dan Leo, sekurang-kurangnya empat influencer di Jerman dan Perancis melaporkan menerima tawaran sama, tetapi menolaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 6:45 AM