Kuala Lumpur: Seorang pelajar jurusan akauntan termakan pujukan manis ‘ulat tiket’ yang berpura-pura mahu membantunya sebelum memperkosa mangsa.

Lebih malang, buku dan komputer riba milik mangsa berusia 20-an turut dirompak dalam kejadian jam 3.30 petang kelmarin.

Sumber berkata, mangsa yang juga penuntut kolej swasta tidak pernah ke ibu kota sebelum ini.

Menurutnya, mangsa yang tiba di Hentian Bas Pudu Sentral di sini, dikatakan bingung untuk pergi ke lokasi di Puchong, Selangor.

“Mangsa ditegur suspek berusia 32 tahun yang berpura-pura mahu membantu menunjukkan lokasi perhentian bas menuju ke Puchong.

“Mangsa sudi dibantu suspek apatah lagi lelaki itu berpura-pura baik dan membantu mangsa mengangkat beg dibawa,” katanya.

Bagaimanapun suspek berhenti di sebuah hotel di kawasan berhampiran dan memberitahu mahu berehat seketika di bilik yang disewa.

“Mangsa yang diperdaya masuk ke bilik hotel itu kemudian diperkosa suspek. Malah suspek mengarahkan mangsa tidak melawan dengan mengugut mahu memanggil rakan-rakannya untuk turut sama melakukan jenayah terkutuk itu.

“Mangsa yang berjaya menyelamatkan diri kemudian segera membuat laporan di balai polis berhampiran. Suspek akhirnya diberkas di sebuah hotel di Bukit Bintang di sini, tidak lama kemudian,” katanya.

Menurutnya, polis turut menemui semula beg berisi komputer riba dan buku milik mangsa yang disembunyikan suspek.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif mengambil dadah jenis syabu. Malah, suspek mempunyai rekod jenayah mendatangkan kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 9:28 AM