Vaksin Pfizer-BioNTech
Vaksin Pfizer-BioNTech
AFP

Paris: Pengguna rangkaian media sosial di Perancis dikejutkan dengan tawaran misteri kepada pempengaruh dan personaliti Youtube meminta mereka memburukkan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer/BioNTech.

Mereka yang menjadi sasaran kempen itu, yang aktif dalam bidang kesihatan dan sains, mengatakan bahawa mereka telah menerima e-mel dari sebuah agensi komunikasi yang berpusat di United Kingdom (UK) menawarkan 'kerjasama' bagi pihak pelanggan dengan 'peruntukan besar' namun, tidak mahu mendedahkan identiti selain perlu merahsiakan perjanjian berkenaan.

"Aneh. Saya telah menerima tawaran perkongsian yang memerlukan saya memburukkan vaksin Pfizer dalam sebuah video," tweet Leo Grasset, yang saluran sains popularnya mempunyai hampir 1.2 juta pelanggan di YouTube.

"Peruntukan lumayan, pelanggan enggan dikenali dan saya harus menyembunyikan penajaan."

Katanya, "Luar biasa. Alamat agensi London yang menghubungi saya adalah palsu. Mereka tidak pernah ada di sana, kerana ia (alamat itu) adalah pusat pembedahan laser. Semua kakitangan mempunyai profil LinkedIn yang pelik."

Profil yang dilihat sebelum ini kini hilang, namun katanya, profil itu menyatakan 'semua orang di sana pernah bekerja di Rusia'.

Sami Ouladitto, pelawak dengan hampir 400,000 pelanggan, melaporkan pendekatan yang serupa, seperti yang dilakukan oleh Et Ca Se Dit Medecin (And They Call Themselves Doctors), seorang pelatih hospital dengan 84,000 pengikut di Instagram.

"Ini menyedihkan, berbahaya, tidak bertanggungjawab dan tidak akan berjaya," kata Menteri Kesihatan Perancis, Olivier Veran kepada saluran BFMTV, hari ini.

"Kebanyakan warga Perancis memilih untuk mendapatkan vaksin dan saya tidak fikir bahawa sebarang usaha untuk menjauhkan kami dari vaksin akan berhasil," katanya, sambil menambahkan bahawa dia tidak pasti sama ada tawaran itu mungkin dari Rusia.

Pengarang e-mel itu, yang mendakwa sebagai agensi berpusat di London bernama Fazze, sukar dikesan, lapor media Perancis.

Akhbar Le Monde mengatakan bahawa Fazze tidak pernah didaftarkan di UK, tetapi mungkin memiliki kehadiran yang sah di Kepulauan Virgin.

Tetapi menurut profil LinkedIn Ketua Pegawai Eksekutif Fazze, yang kini sudah dipadam, agensi itu beroperasi di luar Moscow, kata Le Monde.

Menurut ciapan individu yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu, agensi itu menawarkan 2,000 euro (kira-kira RM10,150) kepada pempengaruh sebagai balasan sekiranya mereka mendakwa bahawa suntikan vaksin Pfizer-BioNTech menyebabkan lebih banyak kematian berbanding vaksin lain.

Vaksin berkenaan, yang biasanya disebut di Perancis sebagai Pfizer, telah meraih populariti selepas saingan vaksin Britain-Sweden, AstraZeneca tidak digemari di sebahagian besar Kesatuan Eropah (EU) kerana masalah kesihatan dan kelewatan penghantaran.

Eksekutif EU menuntut AstraZeneca untuk memaksa penghantaran 90 juta dos vaksin Covid-19 sebelum Julai ini.

Tindakan undang-undang itu memberi tekanan lebih besar kepada syarikat itu selepas adanya hubungan antara vaksin yang dihasilkan dengan kes gumpalan darah yang sangat jarang berlaku tetapi boleh membawa maut.

EU juga telah membenarkan dua vaksin lain untuk digunakan, Moderna dan Johnson & Johnson.

Namun, vaksin Sputnik keluaran Rusia - dan Sinopharm keluaran China - masih belum dibenarkan untuk digunakan di blok itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 9:56 PM