FOTO HIASAN EPA
FOTO HIASAN EPA
AFP

London: Risiko berdepan masalah darah beku yang jarang berlaku selepas menerima vaksin Covid-19 adalah jauh lebih rendah berbanding sekiranya dijangkiti Covid-19.

Kajian berskala besar dijalankan penyelidik dari Universiti Oxford yang diterbitkan dalam jurnal perubatan BMJ mendapati terdapat peratusan sangat kecil terhadap risiko darah beku sehingga membawa kepada kemasukan ke hospital atau kematian selepas dos pertama suntikan vaksin AstraZeneca atau Pfizer.

Namun, ia mendapati risiko berdepan keadaan sama 'lebih tinggi dan berpanjangan' sekiranya dijangkiti Covid-19.

Kebimbangan terhadap risiko darah beku menyebabkan beberapa negara menghentikan atau mengehadkan pemberian suntikan AstraZeneca di mana United Kingdom (UK) mencadangkan individu berusia kurang 40 tahun mendapatkan vaksin lain.

Kajian berkenaan dijalankan menggunakan data daripada hampir 30 juta individu di England yang pertama kali disuntik antara Disember dan April.

Kajian berkenaan mendapati dalam 10 juta individu yang menerima suntikan AstraZeneca, tujuh individu berisiko berdepan masalah berkenaan, namun 20 individu berdepan masalah sama jika dijangkiti Covid-19.

Untuk kes darah beku pada saluran (venous thromboembolism), saintis menganggarkan terdapat 66 kes dalam 10 juta individu yang menerima suntikan AstraZeneca, namun 12,614 individu berisiko berdepan masalah berkenaan sekiranya dijangkiti Covid-19.

Untuk kes berkaitan kadar platelet rendah, dalam 10 juta individu yang menerima suntikan AstraZeneca, 107 kes berisiko berdepan masalah itu, namun angkanya meningkat kepada 934 sekiranya dijangkiti Covid-19.

Bagi suntikan Pfizer pula, kajian berkenaan mendapati, dalam 10 juta suntikan diberi, 143 kes dikaitkan dengan masalah strok, manakala 1,699 berdepan masalah strok sekiranya dijangkiti Covid-19.

Ia juga mendapati, risiko berkaitan suntikan vaksin hanya bersifat sementara, namun risiko yang berkait dengan jangkitan Covid-19 berlarutan sepanjang 28 hari ujian itu dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 6:57 PM