GAMBAR hiasan. FOTO iStock/Agensi
GAMBAR hiasan. FOTO iStock/Agensi
Agensi

Tokyo: Seorang lelaki berusia 59 tahun ditahan polis Fukuoka, untuk membantu siasatan selepas isterinya membuat laporan dia dipukul dengan kulit pisang di kepala.

Portal VnExpress International melaporkan kejadian berlaku di kediaman pasangan itu di bandar Kurate, Fukoka selepas isterinya berusia 62 tahun memanggil polis, lapor Today.

"Kami mendapat maklumat daripada pengadu (si isteri) yang berusia 62 tahun mengenai keganasan rumah tangga dilakukan oleh suspek (si suami).

"Berdasarkan aduan, mangsa berkata suaminya seorang pemabuk dan sudah menghinanya sebelum memukul kepala dengan kulit pisang.

"Ketika soal siasat, lelaki itu mengaku memukul isterinya dengan kulit pisang," kata polis.

Polis berkata, ketika siasatan lelaki itu berkata "Bolehkah ia benar-benar dipanggil sebagai keganasan rumah tangga?

"Bukankah tahap tindakan seperti itu adalah perkara biasa dalam kalangan pasangan suami isteri? Saya marah apabila dia melawan cakap saya," kata si suami dalam soal siasat terhadapnya.

Si suami yang sedang minum minuman keras dilaporkan berang apabila isterinya menghalangnya daripada bersemuka dengan jiran mengenai perbuatan jiran mereka meletakkan kereta di kawasan mereka, menurut News on Japan.

Polis sudah membebaskan lelaki berkenaan dengan ikat jamin, pada masa sama terus memantau kelakuannya bagi mengelakkan dia 'menyerang' isterinya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 3:58 PM