GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Kerana salah faham mengenai surat nikah, seorang lelaki tergamak memukul isterinya hingga cedera di rumah mereka di Taman Bukit Terai di sini.

Perbuatan dayusnya itu menyebabkan dia ditahan polis kelmarin, dan kini direman empat hari hingga Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, penahanan suspek berusia 24 tahun susulan laporan dibuat isterinya, 23, pada 27 Disember lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati pasangan itu bergaduh selepas suspek mahu mendapatkan surat perakuan nikah yang disimpan mangsa.

"Suspek bertindak memukul mangsa dengan tangan hingga mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada kaki, tangan dan muka.

"Suspek ditahan pada 12.15 tengah hari kelmarin di sini dan ujian air kencing dijalankan mendapati dia negatif dadah," katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, katanya semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkait dadah dan dia kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 5:46 PM