HOSSEIN Hosseini. FOTO Instagram
HOSSEIN Hosseini. FOTO Instagram
AFP

Tehran: Seorang penjaga gol salah satu kelab bola sepak terkemuka di Iran, digantung kerja, selepas dia memeluk seorang penyokong wanita semasa perlawanan kejohanan, lapor akhbar harian sukan, Khabar Varzeshi, Isnin lalu.

Hossein Hosseini, 31, yang bermain untuk pasukan Tehran Esteghlal, digantung tugas selepas insiden pada 12 April itu.

Ketika kejadian, wanita yang juga peminat Esteghlal meluru ke padang dan pihak keselamatan stadium cuba menahannya.

Hosseini menghampiri wanita itu ketika kakitangan keselamatan cuba menahannya dan seketika memeluk individu berkenaan.

Akhbar itu berkata, persekutuan bola sepak Iran mendenda penjaga gol itu bersamaan AS$4,700 (kira-kira RM22,457) dan memberinya penggantungan satu perlawanan kerana "kelakuan buruk terhadap ejen keselamatan pada perlawanan itu."

Wanita secara amnya dilarang daripada menghadiri perlawanan bola sepak berikutan revolusi Islam 1979, tetapi pada Ogos 2022 mereka dibenarkan menyertai perlawanan kejohanan buat kali pertama dalam tempoh lebih 40 tahun.

Hosseini menghabiskan sebahagian besar karier bola sepaknya di Esteghlal, salah satu kelab paling popular di negara ini.

Dia bermain untuk Iran dalam perlawanan Piala Dunia 2022 menentang England selepas penjaga gol pilihan pertama cedera.

Esteghlal, yang dikenali sebagai "The Blues", kini menduduki tangga teratas liga Iran dengan hanya tinggal enam perlawanan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 9:23 AM