GAMBAR fail menunjukkan tentera Israel menunjukkan peluru berpandu didakwa dilepaskan Iran yang terdampar di Laut Mati selepas serangan dron pada 16 April. FOTO Reuters
GAMBAR fail menunjukkan tentera Israel menunjukkan peluru berpandu didakwa dilepaskan Iran yang terdampar di Laut Mati selepas serangan dron pada 16 April. FOTO Reuters
AFP

Washington: Amerika Syarikat (AS) menerima notis awal mengenai serangan Israel dilaporkan ke atas Iran, tetapi tidak menyokong operasi itu atau memainkan sebarang peranan dalam pelaksanaannya, media AS memetik kata pegawai yang berkenaan.

NBC dan CNN, memetik sumber yang biasa dengan perkara itu dan seorang pegawai AS, masing-masing berkata, Israel sudah memberikan Washington pra-pemberitahuan mengenai serangan itu.

Pelbagai rangkaian memetik pegawai mengesahkan serangan berlaku ke atas Iran, dengan CNN memetik seorang pegawai menyatakan sasaran itu bukan terhadap kemudahan nuklear.

Israel memberitahu AS pada Khamis bahawa ia akan bertindak balas terhadap Iran dalam beberapa hari akan datang, seorang pegawai kanan AS memberitahu CNN.

"Kami tidak menyokong tindak balas itu," kata pegawai itu, menurut CNN.

Tiada komen segera dari Rumah Putih mengenai serangan dilaporkan oleh Israel.

Sebagai tindak balas kepada pertanyaan daripada AFP, meja tugas Pentagon berkata: "Kami tidak mempunyai apa-apa untuk diberitahu pada masa ini."

Iran mengaktifkan sistem pertahanan udaranya di beberapa bandar, lapor media kerajaannya selepas penyiar rasmi negara itu berkata, letupan kedengaran berhampiran bandar tengah Isfahan.

Israel memberi amaran akan menyerang balik selepas Iran melepaskan ratusan peluru berpandu dan dron ke arah musuh ketatnya itu pada hujung minggu.

Kebanyakan daripada ratusan serangan itu dipintas.

Serangan hujung minggu itu berlaku susulan serangan ke atas konsulat Iran di Damsyik yang dipersalahkan ke atas Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 1:34 PM