Agensi

Hong Kong: Polis menahan 11 individu termasuk remaja 14 tahun, disyaki terbabit konspirasi penipuan dengan sengaja menyebabkan kemalangan jalan raya untuk meraih pampasan.

Dalang utama kegiatan itu dikatakan terbabit dengan 44 kemalangan 'terancang' antara Oktober 2023 dan Mac lalu, dengan purata dua kes sehari.

Ketua Inspektor Unit Jenayah Wilayah New Territories North, Michael Law menyifatkan kejadian sebagai sesuatu yang luar biasa.

"Pihak berkuasa merancang untuk mendakwa dalang utama iaitu lelaki berusia 24 tahun dan sekutunya wanita berumur 22 tahun serta pelajar 15 tahun," katanya pada Sabtu yang dilapor SCMP.

Tiga suspek itu akan dihadapkan ke mahkamah Fanling esok.

Michael Law berkata, kegiatan kumpulan berkenaan terbongkar pada 11 April lalu selepas kakitangan sekolah di Tuen Mun menghubungi polis untuk bantuan disebabkan suspek utama dan dua wanita berusia 22 dan 23 tahun cuba mengambil pelajar 15 tahun.

"Suspek didakwa sengaja menyebabkan kemalangan jalan raya kecil dalam usaha untuk meyakinkan mangsa yang mereka bertanggungjawab terhadap insiden, sebelum menuntut pampasan bagi kecederaan dialami.

"Sekurang-kurangnya 10 kemalangan itu membabitkan pelajar 15 tahun terbabit dan dua suspek wanita, yang mana mereka menyamar sebagai penumpang tercedera dalam kemalangan," katanya.

Menurutnya, walaupun ia kemalangan kecil, 16 pemandu membayar pampasan kepada kumpulan itu atas rasa 'bersalah menyebabkan kecederaan'.

Dengan bantuan pihak sekolah, polis berjaya membongkar kegiatan suspek utama yang merekrut pelajar untuk dijadikan penumpang bagi kemalangan berkenaan.

Law mendedahkan polis menahan tujuh pelajar sekolah pada Jumaat, merangkumi lima pelajar lelaki dan dua perempuan berusia 14 dan 15 tahun di Tuen Mun.

"Mereka (pelajar) memainkan peranan sebagai penumpang dengan sebahagian daripadanya mendakwa benar-benar cedera dalam kemalangan itu.

"Ketujuh-tujuh suspek dibebaskan dengan jaminan," katanya yang memberitahu kebanyakan pelajar terbabit daripada keluarga kurang berkemampuan, selain kurang perhatian keluarga disebabkan ibu bapa sibuk.

"Penjenayah mengambil kesempatan daripada peluang ini dengan menarik mereka untuk melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang melalui hiburan percuma, makan dan sokongan kewangan, tetapi akhirnya ini memusnahkan masa depan mereka," katanya.

Di Hong Kong, kesalahan melakukan konspirasi penipuan boleh dihukum sehingga 14 tahun penjara di bawah Ordinan Kecurian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 12:38 PM