LELAKI menunggang basikal melalui runtuhan bangunan di sekitar Hospital Al-Shifa. FOTO AFP
LELAKI menunggang basikal melalui runtuhan bangunan di sekitar Hospital Al-Shifa. FOTO AFP
AFP

Gaza: Hospital terbesar di Gaza ibarat sudah menjadi abu selepas dua minggu dikepung tentera Israel, dengan apa yang tinggal adalah mayat bergelimpangan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, kakitangannya yang mendapat akses di sana, melihat sendiri kesan kemusnahan di kemudahan itu.

Selain itu, mereka melihat adegan mengerikan apabila mayat yang hanya sebahagiannya tertimbus dengan anggota badan kelihatan, dan bau mayat reput.

Tentera Israel berundur dari Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza, Isnin lau, selepas operasi ketenteraan selama dua minggu, yang mana mereka berkata, ia bagi memerangi pejuang Palestin di dalam kompleks perubatan paling penting di wilayah Palestin itu.

Misi yang diketuai WHO akhirnya dapat mengakses hospital itu pada Jumaat lalu, selepas beberapa percubaannya gagal sejak 25 Mac, kata agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Hospital itu mengalami kemusnahan besar-besaran, selain pesakit ditahan dalam keadaan teruk semasa pengepungan dan kebanyakannya meninggal dunia.

"WHO dan rakan kongsi berjaya mengakses Hospital Al-Shifa yang pernah menjadi tulang belakang sistem kesihatan di Gaza, yang kini menjadi lapangan kosong dengan kubur manusia selepas pengepungan terbaru," tulis ketua pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus di X.

Dalam satu kenyataan, WHO berkata, tiada pesakit kekal di hospital, yang mana banyak 'kubur cetek' di luar jabatan kecemasan, bangunan pentadbiran dan wad pembedahan.

"Banyak mayat yang sebahagiannya tertimbus dengan anggota badan mereka kelihatan.

"Semasa lawatan mereka, kakitangan WHO menyaksikan sekurang-kurangnya lima mayat bergelimpangan sebahagiannya di tanah, terdedah kepada panas.

"Pasukan melaporkan bau mayat reput menyelubungi perkarangan hospital," tegas WHO.

Menurut Tedros lagi, misi yang dijalankan dengan kerjasama agensi PBB lain dan pemangku pengarah hospital, mendapati bahawa skala kemusnahan itu menyebabkan kemudahan itu tidak berfungsi sepenuhnya.

"Kebanyakan bangunan di kompleks hospital musnah secara meluas dan sebahagian besar aset rosak atau menjadi abu.

"Malah, memulihkan fungsi minimum (hospital ini) dalam jangka pendek nampaknya tidak masuk akal.

Pemangku pengarah hospital sudah menggambarkan bagaimana pesakit ditahan dalam keadaan yang teruk semasa pengepungan.

Sekurang-kurangnya 20 pesakit dilaporkan meninggal dunia disebabkan kekurangan akses kepada penjagaan dan pergerakan terhad untuk kakitangan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 10:20 AM