ORANG ramai berlindung di kawasan sekitar Hospital Al-Shifa, utara Gaza. FOTO Reuters
ORANG ramai berlindung di kawasan sekitar Hospital Al-Shifa, utara Gaza. FOTO Reuters
AFP

Geneva: Penghantaran bekalan perubatan kecemasan dan ubat-ubatan, yang sangat sukar, akhirnya sampai ke Hospital Al-Shifa di utara Semenanjung Gaza, pada Rabu, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sambil memberi amaran lebih banyak lagi bantuan itu diperlukan.

Dalam satu kenyataan bersama, Ketua Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) Philippe Lazzarini dan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata bantuan sudah sampai ke hospital terbesar Gaza.

"Bantuan sampai ke hospital walaupun berisiko besar kepada kakitangan dan petugas kesihatan kami akibat pengeboman tanpa henti.

"Sejak perang antara Israel dan Hamas meletus lebih sebulan lalu, penghantaran bekalan menyelamatkan nyawa itu hanyalah yang kedua dapat sampai ke hospital yang terletak di Bandar Gaza.

"Kuantiti yang kami hantar masih jauh dari mencukupi untuk memenuhi keperluan besar di Semenanjung Gaza," kata Lazzarini dan Tedros dalam kenyataan itu.

Mereka menyifatkan keadaan di hospital sebagai malapetaka dengan hampir dua pesakit untuk setiap katil. Selain itu, bilangan mangsa cedera sentiasa meningkat.

Doktor terpaksa merawat pesakit yang cedera dan kesakitan di koridor dan di atas lantai, sementara pesakit mengalami kesakitan yang amat sangat tidak dapat ubat-ubatan dan anestetik yang semakin kehabisan, kata mereka.

Pada masa sama, berpuluh-puluh ribu orang yang berpindah dari kawasan kediaman mencari perlindungan di tempat letak kereta dan kawasan hospital.

Pengepungan dan pengeboman Israel tanpa henti ke atas Gaza yang bermula dari 7 Oktober membunuh hampir 10,600 mangsa, termasuk lebih 4,000 kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan yang dikawal Hamas di wilayah itu.

Lebih 1.5 juta orang meninggalkan rumah mereka, termasuk ramai yang menyahut seruan Israel supaya seluruh penduduk utara Gaza pergi ke selatan.

Tentera Israel berkata, pada Rabu sahaja, seramai 50,000 orang meninggalkan utara Gaza untuk ke selatan enklaf itu. .

Lazzarini dan Tedros memuji doktor, jururawat dan kakitangan lain di hospital Al-Shifa kerana 'memberi tindak balas wira terhadap situasi terdesak semasa.'

"Tetapi mereka memerlukan lebih banyak sokongan. Kawasan utara Gaza tidak boleh diasingkan atau dikesampingkan daripada menerima penyampaian bantuan kemanusiaan. Bantuan perlu sampai ke seluruh Gaza," tegas mereka.

Mereka menegaskan bahawa Al-Shifa dan kemudahan perubatan lain mengalami kehabisan bekalan dengan cepat termasuk bahan api yang tidak dibenarkan masuk ke Gaza sejak pertempuran bermula.

Lazzarini dan Tedros segera merayu untuk penghantaran bahan api kepada agensi kemanusiaan di Gaza.

"Tanpa bahan api, hospital dan kemudahan penting lain seperti loji penyahgaraman dan kedai roti tidak boleh beroperasi, dan akibatnya lebih ramai orang pasti akan mati," kata mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 12:06 PM