KEADAAN di Hospital Al-Shifa selepas pengunduran tentera Israel dari kawasan itu. FOTO AFP
KEADAAN di Hospital Al-Shifa selepas pengunduran tentera Israel dari kawasan itu. FOTO AFP
AFP

Gaza: Bangunan terbakar dan mayat bergelimpangan dilihat selepas tentera Israel berundur dari Hospital Al-Shifa, di sini, yang dikepung sejak dua minggu lalu.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, serangan udara Israel dan tembakan kereta kebal menyebabkan kemusnahan berskala besar di dalam kompleks dan bangunan di sekelilingnya.

"Puluhan mayat sebahagian daripadanya reput ditemukan di dalam dan sekitar kompleks perubatan Al-Shifa.

"Hospital itu tidak berfungsi sepenuhnya," kata kementerian itu.

Seorang doktor memberitahu AFP, lebih 20 mayat ditemukan sebahagiannya hancur akibat dilenyek kenderaan.

Israel berkata, pihaknya memerangi kumpulan Palestin yang bersembunyi di dalam Hospital Al-Shifa.

Katanya, mereka berjaya membunuh sekurang-kurangnya 200 pejuang musuh dan mendapatkan simpanan besar senjata, bahan letupan dan wang tunai.

Sejak dua minggu lalu, tentera Israel melakukan apa yang dilabelkan sebagai aktiviti operasi tepat di Kompleks Hospital Al-Shifa, sebelum mengisytiharkan pengunduran tentera, Isnin lalu.

Tentera Israel dalam beberapa hari kebelakangan ini mengeluarkan rakaman anggota mereka bergerak melalui koridor hospital dan gambar sejumlah besar senapang, bom tangan dan senjata lain yang dikatakan ditemukan di wad bersalin.

Tentera Israel berkata, 200 pejuang Hamas dan pejuang Jihad Islam terbunuh dalam pertempuran di dalam dan di sekitar Hospital Al-Shifa.

Hamas menafikan beroperasi dari Hospital Al-Shifa dan kemudahan kesihatan lain.

Pejabat media kerajaan Hamas berkata, puluhan serangan udara dan tembakan melanda kawasan sekitar kompleks itu pada waktu pagi sehingga kemudahan itu hangus terbakar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 3:02 PM