PASUKAN penyelamat mencari mangsa terselamat. FOTO AFP
PASUKAN penyelamat mencari mangsa terselamat. FOTO AFP
AFP

Taipei: Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan lebih 1,000 cedera akibat gempa bumi kuat di Taiwan, semalam.

Bencana itu merosakkan berpuluh-puluh bangunan dan mendorong amaran tsunami hingga ke Jepun dan Filipina sebelum ditarik balik.

Pegawai berkata, gempa bumi itu adalah yang paling kuat menggegarkan pulau itu dalam tempoh 25 tahun, sambil memberi amaran lebih banyak gegaran pada hari-hari mendatang.

Gempa bumi bermagnitud 7.4 pada hari Rabu melanda sejurus sebelum 8 pagi waktu tempatan dengan Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyatakan pusat gempa 18 kilometer (km) di selatan Bandar Hualien Taiwan, pada kedalaman 34.8 km.

Tiga orang daripada sekumpulan tujuh orang dalam pendakian awal pagi melalui bukit yang mengelilingi bandar itu, mati dihempap batu-batu besar akibat gempa bumi, kata pegawai.

Secara berasingan, tiga maut ketika memandu apabila kenderaan mereka dihempap batu tumbang, manakala seorang lagi maut di kuari lombong.

Agensi Bomba Kebangsaan berkata, semua kematian berada di daerah Hualien, sambil menambah bahawa 1,011 orang di seluruh Taiwan mengalami kecederaan.

Lebih 50 mangsa yang terselamat berjaya dikeluarkan dari runtuhan bangunan itu.

Saluran TV tempatan menunjukkan jentolak membersihkan batu di sepanjang laluan utama ke Hualien, sebuah daerah pantai yang dikelilingi gunung dengan kira-kira 300,000 orang terputus hubungan akibat tanah runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2024 @ 9:08 AM