PASUKAN penyelamat mencari mangsa terperangkap di runtuhan bangunan di New Taipei City. FOTO CNA / AFP
PASUKAN penyelamat mencari mangsa terperangkap di runtuhan bangunan di New Taipei City. FOTO CNA / AFP
Agensi

Taipei: Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh, manakala hampir 60 cedera apabila gempa bumi bermagnitud 7.4 melanda Taiwan, hari ini, yang memusnahkan puluhan bangunan, lapor Reuters.

Pengarah Pusat Seismologi Pentadbiran Cuaca Pusat Taipei, Wu Chien-fu berkata, gempa bumi bermagnitud 7.4 itu melanda sebelum 8 pagi waktu tempatan dengan Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) meletakkan pusat gempa 18 kilometer di selatan Bandar Hualien, Taiwan, pada kedalaman 34.8 kilometer (km).

Katanya, gempa itu paling kuat selepas gempa magnitud 7.6 melanda Taiwan pada September 1999, membunuh kira-kira 2,400 orang dalam bencana paling maut dalam sejarah pulau itu.

Kerajaan Taiwan berkata, empat orang maut di daerah timur Hualien dengan lebih 50 cedera.

Katanya, sekurang-kurangnya 26 bangunan runtuh iaitu lebih separuh di Hualien, dengan kira-kira 20 orang terperangkap dan kerja menyelamat sedang dijalankan.

Stesen televisyen Taiwan menunjukkan rakaman bangunan pada sudut tidak menentu di Hualien, apabila gempa bumi berlaku di luar pesisir ketika orang ramai ke tempat kerja dan sekolah.

Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan mengesahkan, gempa itu mempunyai kedalaman 15.5 km.

Presiden Tsai Ing-wen menggesa agensi kerajaan tempatan dan pusat berkoordinasi antara satu sama lain.

Katanya, tentera negara juga akan memberikan sokongan.

Agensi Bomba Kebangsaan mengesahkan jumlah kematian dengan hampir 60 orang dirawat kerana cedera.

Kakitangan Hospital Taipei, Chang Yu-Lin, 60, berkata, gegaran sangat kuat.

"Rasanya seolah-olah rumah itu akan runtuh," katanya.

Menurut saksi Reuters, gegaran susulan masih boleh dirasai di Taipei.

Media kerajaan China melaporkan, gempa itu dirasai di wilayah Fujian di China, manakala seorang saksi berkata, ia turut dirasai di Shanghai.

Kerajaan bandar Taipei berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kerosakan besar dan MRT di bandar itu beroperasi selepas gegaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 3:39 PM