KESAN runtuhan dalam bilik air sebuah universiti selepas gempa bumi melanda Taipei, Taiwan, hari ini. FOTO Reuters
KESAN runtuhan dalam bilik air sebuah universiti selepas gempa bumi melanda Taipei, Taiwan, hari ini. FOTO Reuters
Mohd Azam Shah Yaacob


SEORANG rakyat Malaysia cedera susulan gempa berskala 6.1 dan 4.1 Magnitud melanda wilayah Hualien, Taiwan, hari ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, mangsa dilaporkan cedera akibat terkena runtuhan batu ketika melawat Taroko Gorge National Park di wilayah berkenaan.

Katanya, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Hualien Tzu Chi, Hualien.

“Pada 1.01 tengah hari dan 1.17 tengah hari waktu tempatan, dua gempa bumi masing-masing berkekuatan 6.1 dan 4.1 Magnitud melanda wilayah Hualien.

“Akibat gempa bumi itu, seorang rakyat Malaysia yang sedang melancong di negara berkenaan cedera selepas terkena runtuhan batu di Taroko Gorge National Park,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menjelaskan butiran kecederaan dan maklumat mengenai mangsa.

Menurut kenyataan itu lagi, Kementerian Luar Negeri melalui Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei akan terus memantau keadaan mangsa bagi menghulurkan bantuan sewajarnya.

Katanya, rakyat Malaysia yang berada di negara itu dan memerlukan bantuan akibat terjejas bencana berkenaan dinasihatkan untuk berhubung dengan Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia (MFTC) di Taipei.

“Mereka yang terjejas boleh datang terus ke MFTC di Taipei yang terletak di San Ho Plastic Building di Dun Hua North Road.

“Selain itu, mereka boleh menghubungi MFTC di talian +(886) 22713 2626 atau pegawai bertugas di talian +(886) 90574 6271,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 7:34 PM