Timbalan Duta Besar AS ke PBB Robert Wood mengundi menentang resolusi membenarkan keanggotaan PBB Palestin di ibu pejabat PBB di New York. FOTO AFP
Timbalan Duta Besar AS ke PBB Robert Wood mengundi menentang resolusi membenarkan keanggotaan PBB Palestin di ibu pejabat PBB di New York. FOTO AFP
Bernama-Anadolu

Istanbul: Palestin mengecam sekeras-kerasnya keputusan Amerika Syarikat (AS) memveto draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) Khamis yang menuntut Palestin menjadi ahli penuh dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam kenyataan, Presiden Palestin menyifatkan tindakan itu 'tidak adil, tidak beretika dan tidak wajar', dan mencabar kehendak masyarakat antarabangsa", lapor Agensi Anadolu (AA).

Ia menekankan bahawa dasar Amerika yang agresif terhadap Palestin, rakyatnya dan hak-hak sah mereka ini adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.

Ia juga menyatakan bahawa veto AS menggalakkan perang genosida berterusan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis yang diduduki.

Seramai 15 anggota Majlis Keselamatan PBB berkumpul di New York untuk mengundi draf resolusi yang disediakan oleh Algeria yang mengesyorkan kemasukan Negara Palestin untuk menjadi ahli PBB.

Keahlian itu disekat dengan undian 12 menyokong dan dua berkecuali, termasuk United Kingdom (UK) dan Switzerland.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 12:31 PM