RAKAMAN menunjukkan doktor berkenaan yang dikenal pasti pihak berkuasa sebagai Dr Abhishek 'melakukan' pembedahan ke atas seorang 'pesakit'. FOTO Agensi
RAKAMAN menunjukkan doktor berkenaan yang dikenal pasti pihak berkuasa sebagai Dr Abhishek 'melakukan' pembedahan ke atas seorang 'pesakit'. FOTO Agensi
Agensi

New Delhi: Seorang doktor yang bekerja secara kontrak di sebuah hospital kerajaan di daerah Chitradurga di Karnataka, India, baru-baru ini dipecat, selepas terbabit dalam penggambaran praperkahwinan di dewan pembedahan.

Portal NDTV melaporkan, rakaman insiden itu yang tular di media sosial mencetuskan kemarahan dan membawa kepada tindakan pantas oleh kerajaan negeri Karnataka.

Rakaman menunjukkan doktor berkenaan yang dikenal pasti pihak berkuasa sebagai Dr Abhishek 'melakukan' pembedahan ke atas seorang 'pesakit', manakala tunangnya membantunya dalam 'prosedur' olok-olok itu.

Pasangan itu dilihat menggunakan alat perubatan dan dikelilingi peralatan pencahayaan profesional pihak produksi.

Ketawa jurukamera dan juruteknik didengari dalam rakaman itu.

Penggambaran itu nampaknya berkisar pada tema perubatan, dengan video itu diakhiri dengan 'pesakit' duduk dan ketawa selepas pembedahan olok-olok itu.

Berikutan kritikan meluas dalam talian, Menteri Kesihatan Karnataka, Dinesh Gundu Rao, mengarahkan Dr Abhishek dipecat serta-merta.

Menteri itu menekankan bahawa hospital kerajaan bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai, bukan untuk program peribadi.

Dinesh turut mengisytiharkan sikapnya yang tidak bertoleransi terhadap tindakan tidak berdisiplin sedemikian.

"Seorang doktor yang melakukan penggambaran praperkahwinan di dewan pembedahan Hospital Kerajaan Bharamasagar di Chitradurga diberhentikan daripada perkhidmatan.

"Hospital kerajaan wujud untuk penjagaan kesihatan orang ramai dan bukan untuk kerja peribadi. Saya tidak boleh bertolak ansur dengan sikap tidak disiplin seperti itu daripada doktor," tulis menteri itu di aplikasi X.

Menteri itu seterusnya menulis bahawa semua pekerja kontrak, termasuk doktor dan kakitangan yang menjalankan tugas di jabatan kesihatan, harus melaksanakan tugas mereka mengikut peraturan perkhidmatan kerajaan.

"Saya sudah berpesan kepada doktor yang berkenaan dan semua kakitangan supaya berhati-hati supaya kejadian sebegini tidak berlaku di hospital kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 2:33 PM