KAJIAN sama ada piza dihasilkan dan dimakan di Itali boleh mencegah kanser antara pemenang anugerah Nobel. FOTO REUTERS
KAJIAN sama ada piza dihasilkan dan dimakan di Itali boleh mencegah kanser antara pemenang anugerah Nobel. FOTO REUTERS
AFP

NEW YORK: Kajian sama ada piza dihasilkan dan dimakan di Itali boleh mencegah kanser serta pencipta mesin tukar lampin antara pemenang anugerah Nobel olok-olok tahun ini. 

Saintis mengukur air liur kanak-kanak serta kajian kepuasan menggaru tempat gatal turut diberi penghargaan pada acara Hadiah Nobel Ig ke-29 yang bertujuan meraikan penemuan melucukan sains. 

Kesemua anugerah disampaikan di Universiti Harvard di Cambridge, Massachusetts hari ini. 

Anugerah tertinggi dalam kategori anatomi dimenangi Roger Mieusset dan Bourras Bengoudifa untuk projek mengukur asimetri suhu alat sulit posmen yang telanjang dan berpakaian di Perancis pada 2007. 

Sementara Fritz Strack dari Universiti Wurzburg memenangi hadiah psikologi atas penemuan memegang pen dalam mulut boleh menyebabkan seseorang tersenyum dan kelihatan gembira, namun mendapati ia sebenarnya tidak. 

Setiap pemenang menerima wang tunai $10 trilion dalam mata wang Zimbabwe yang tidak mempunyai sebarang nilai. 

Selain itu, pemenang hanya diberikan 60 saat untuk memberi ucapan. 

Sekiranya melebihi masa, mereka akan dihenti oleh seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang berkata ‘tolong berhenti, saya bosan’.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 12:12 PM