NASIR (tengah) bersama Sharon (kiri) dan Shalin pada mesyuarat pengurus pasukan ke Sukan Sea Kemboja di Pejabat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.
NASIR (tengah) bersama Sharon (kiri) dan Shalin pada mesyuarat pengurus pasukan ke Sukan Sea Kemboja di Pejabat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Bagi memastikan tiada masalah doping berlaku disebabkan faktor kesihatan di temasya Sukan Sea Kemboja, Mei depan, semua pengurus acara sukan digesa untuk membuat pengisytiharan kesihatan lengkap dengan segera.

Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan Sea Kemboja, Datuk Mohd Nasir Ali berkata, pihaknya risau kemungkinan terdapat atlet yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma akan menggunakan ubat-ubatan tertentu yang dikhuatiri akan memberi kesan ketika melakukan ujian doping.

"Dari segi persiapan, atlet perlu buat pemeriksaan perubatan sebelum pergi (Sukan Sea) dan mereka harus beritahu sekiranya ada asma.

"Jadi ISN (Institut Sukan Negara) akan membuat persediaan tertentu (untuk atlet). Jadi tidak akan ada masalah mengenai doping (atlet yang ada masalah asma)," katanya selepas mesyuarat pengurus pasukan ke Sukan Sea Kemboja di Pejabat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.

Hadir sama, Timbalan CDM ke Sukan Sea Kemboja, Sharon Wee dan Datuk Shalin Zulkifli.

Ketika mengulas mengenai dua kes kematian terkini iaitu seorang kanak-kanak dan lelaki dewasa akibat virus selesema burung H5N1 di negara terbabit, Mohd Nasir berkata, pihaknya akan memantau situasi itu dari semasa ke semasa.

Pada masa sama, pihaknya menasihatkan agar semua pihak tidak panik dengan situasi itu memandangkan ISN bakal mengambil langkah keselamatan terhadap semua atlet dan pegawai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 8:03 PM