RUMAH yang dijadikan kandang biri-biri. FOTO TikTok @afdholabadi.
RUMAH yang dijadikan kandang biri-biri. FOTO TikTok @afdholabadi.
Agensi

Jakarta: Sebuah rumah dua tingkat berkonsep minimalis di Batur, Jawa Tengah, viral di media sosial apabila diubahsuai menjadi kandang mewah untuk menempatkan biri-biri peliharaan seorang lelaki.

Kediaman itu menjadi topik hangat selepas satu video dimuat naik akaun TikTok @afdholabadi dan meraih lebih 1.3 juta tontonan.

Dalam video itu, kelihatan dua lelaki menjaga biri-biri berkenaan yang diletakkan dalam kandang khas di rumah berkonsepkan minimalis dan dicat dengan warna kelabu dan hitam itu.

Menurut pemilik video, Afdhol Abadi, rumah biri-biri yang terletak di Batur, Jawa Tengah itu milik lelaki bernama David.

"Saya menemani kawan saya, Hadi hendak yang ingin membeli kambing biri-biri.

"Dia membawa saya ke tempat David, yang mempunyai rumah kambing biri-biri.

"Pada mulanya, saya fikir ia hanya rumah biasa tetapi apabila masuk ke dalamnya rupa-rupanya kandang biri-biri," katanya kepada Wolipop.

Katanya, David memang mereka khas rumah itu untuk kandang biri-birinya itu.

"Lokasi rumah dua tingkat yang dijadikan kandang biri-biri itu berada di dataran tinggi.

"David menempatkan biri-biri dalam rumah mewah itu kerana dia suka dan harganya boleh mencecah antara 10 juta rupiah (RM3,013.90) hingga 100 juta rupiah (RM30,139.03," katanya.

Dipetik dari Distankan Banjarnegara, biri-biri Batur ialah kacukan biri-biri merino dan biri-biri ekor nipis dengan banyak didapati di daerah Batur dan sekitarnya.

Kambing biri-biri ini dibiakkan masyarakat setempat secara turun temurun dan dimiliki masyarakat Banjarnegara, Jawa Tengah.

Kambing biri-biri ini bernilai tinggi dan dijual bermula dari 4 juta rupiah (RM1,205.56) dan ada yang mencecah ratusan juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 2:35 PM