FOTO fail menunjukkan pelajar tiba di sebuah sekolah di Seoul untuk menduduki peperiksaan kemasukan kolej di Korea Selatan atau ‘suneung', pada 2022. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan pelajar tiba di sebuah sekolah di Seoul untuk menduduki peperiksaan kemasukan kolej di Korea Selatan atau ‘suneung', pada 2022. FOTO AFP
Agensi

Seoul: Sekumpulan pelajar di Korea Selatan menyaman kerajaan kerana peperiksaan kemasukan kolej mereka tamat 90 saat lebih awal daripada yang dijadualkan.

BBC melaporkan, setiap seorang daripada mereka menyaman 20 juta won (kira-kira RM71,403) bagi kos belajar setahun untuk mengambil semula peperiksaan.

Kesilapan itu menjejaskan peperiksaan lain bagi pelajar itu, kata peguam mereka.

Ujian kemasukan kolej terkenal di negara ini, yang dikenali sebagai Suneung, ialah peperiksaan maraton selama lapan jam dengan kertas dalam pelbagai mata pelajaran.

Suneung adalah satu daripada peperiksaan yang paling sukar di dunia dan taruhannya juga sangat tinggi.

Ia bukan sahaja menentukan peluang untuk ke universiti tetapi juga, mempengaruhi pekerjaan dan pencarian pasangan.

Beberapa langkah untuk membantu pelajar menumpukan perhatian diambil semasa acara tahunan itu seperti menutup ruang udara negara dan menangguhkan pembukaan pasaran saham.

Keputusan peperiksaan tahun ini dikeluarkan pada 8 Disember.

Saman itu, yang difailkan pada Selasa oleh sekurang-kurangnya 39 pelajar, mendakwa bahawa loceng berbunyi lebih awal di lokasi peperiksaan di ibu kota Seoul, semasa ujian subjek pertama peperiksaan iaitu Bahasa Korea,

Beberapa pelajar membantah serta-merta, tetapi mengatakan penyelia masih mengambil kertas mereka.

Guru-guru mengakui kesilapan sebelum permulaan sesi seterusnya, dan memberi masa satu setengah minit kembali semasa rehat makan tengah hari tetapi mereka hanya boleh menanda lajur kosong yang ditinggalkan pada kertas mereka, dan tidak dibenarkan menukar mana-mana jawapan yang sedia ada.

Pelajar berkata, mereka sangat kecewa sehingga tidak dapat memberi tumpuan kepada baki kertas peperiksaan, lapor agensi berita Yonhap. Ada yang dilaporkan berputus asa dan pulang ke rumah.

Peguam mereka, Kim Woo-suk memberitahu media tempatan, pihak berkuasa pendidikan tidak memohon maaf.

Penyiar awam KBS memetik pegawai yang berkata, penyelia menjaga pusat peperiksaan salah membaca masa.

Ini bukan kali pertama pelajar menyaman kerana loceng dibunyikan terlalu awal.

Pada April, mahkamah di Seoul menganugerahkan tujuh juta won (kira-kira RM24,990) kepada pelajar yang mendakwa mereka kurang bernasib baik pada peperiksaan Suneung pada 2021 kerana loceng berbunyi kira-kira dua minit lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 1:43 PM