SEORANG lelaki memeriksa mayat mangsa di perkarangan Hospital Al-Shifa pada 10 November lalu. FOTO AFP
SEORANG lelaki memeriksa mayat mangsa di perkarangan Hospital Al-Shifa pada 10 November lalu. FOTO AFP
Agensi

Bailtulmaqdis: Mayat ratusan rakyat Palestin tidak dapat dikebumikan secara sempurna berikutan Hospital Al-Shifa berterusan diserang dan dikepung tentera Israel.

Menteri Kesihatan Mai Al-Kaila berkata, sesiapa yang bergerak dalam bangunan itu akan ditembak Israel.

"Lebih 100 mayat syuhada berada di luar Hospital Al-Shifa. Anjing liar pula mula berkeliaran di halaman hospital.

"Ini kerana pasukan perubatan di dalam hospital tidak dapat membuat kubur besar-besaran di halaman hospital kerana keadaan lapangan yang semakin serius," katanya dalam kenyataan semalam.

Mai berkata, keutamaan sekarang untuk membawa bahan api masuk ke hospital, memulihkan tenaga elektrik dan membawa masuk pegawai perubatan untuk menyokong kru perubatan yang keletihan.

"Keutamaan kami adalah mengeluarkan mangsa yang cedera dari hospital untuk rawatan di luar Semenanjung Gaza," katanya seperti dilaporkan portal Egypt Today.

Katanya, 20 daripada 35 hospital tidak dapat lagi beroperasi dan berhenti sepenuhnya memberikan perkhidmatan kepada pesakit.

"Hospital tidak dapat memberikan perkhidmatan kepada mangsa cedera sama ada kerana mereka disasarkan secara langsung tentera Israel atau mereka kehabisan bahan api dan terputus bekalan elektrik.

"Pembedahan terpaksa dilakukan tanpa bius dan tiada bekalan elektrik hanya menggunakan lampu telefon bimbit," katanya.

Menurutnya, bencana yang berlaku di Gaza sekarang tidak pernah berlaku dalam sejarah Palestin dan antarabangsa.

"Hospital dikepung, dibom manakala pesakit kakitangan perubatan dan orang terlantar dibunuh dengan seluruh dunia hanya melihatnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 1:17 PM