BEARBRICK kini dijadikan koleksi kurang disyaki untuk pengubahan wang haram. FOTO Agensi
BEARBRICK kini dijadikan koleksi kurang disyaki untuk pengubahan wang haram. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Bearbrick, anak patung beruang yang mahal harganya kini antara pilihan penjenayah sebagai koleksi simpanan kurang disyaki untuk aktiviti pengubahan wang haram.

Ini kerana ia mempunyai nilai tinggi mudah dicairkan di pasaran sebab mempunyai permintaan tinggi oleh pengumpul dan peminatnya.

Pada Ogos, polis Singapura melakukan serbuan anti-pengubahan wang haram di seluruh pulau, menahan sekumpulan warga asing dan merampas wang tunai serta aset termasuk kereta mewah, jam tangan dan beg tangan.

Tetapi apa yang turut menarik perhatian orang ramai ialah pelbagai patung seperti beruang berwarna-warni yang disenaraikan sebagai 'perhiasan' oleh polis.

Di Thailand, pegawai Pasukan Petugas Polis Siber pada Selasa menggeledah rumah seorang pegawai polis yang disyaki terbabit dengan laman web perjudian dalam talian dan merampas beberapa Bearbrick dan anak patung lain yang disenaraikan oleh polis sebagai barang koleksi bernilai tinggi.

The Nation melaporkan, operasi itu adalah susulan penggeledahan kontroversi rumah milik Timbalan Ketua Polis Thailand Surachate Hakparn dan orang bawahannya pada Isnin, hanya dua hari sebelum Suruhanjaya Polis dijadualkan melantik Ketua Polis Thailand baharu menggantikan Damrongsak Kittiprapas.

Jawatan itu akhirnya diserahkan kepada Torsak Sukwimol, Khamis lalu.

Surachate, yang adalah antara calon yang disenarai pendek untuk jawatan tertinggi polis itu berkata penggeledahan bermotifkan politik dalaman dalam jabatan polis.

Tetapi apakah sebenarnya Bearbricks itu, dan mengapa ia antara barang yang dirampas?

Bearbrick ialah patung mainan dihasilkan syarikat Jepun Medicom Toy. Ia mula diperkenalkan pada tahun 2001 sebagai hadiah kepada pengunjung di Konvensyen Watak Dunia di Tokyo.

Bearbrick edisi terhad sangat dicari oleh pengumpul dan peminatnya.

Shawn Wee, pemilik kedai barang koleksi Singapura Eye For Toys, memberitahu Straits Times koleksi Bearbrick yang dirampas oleh polis Singapura bulan lalu dianggarkan bernilai antara 500,000 hingga 570,000 dolar Singapura (kira-kira antara RM1.7 juta hingga RM1.96 juta).

Sementara itu, harga Bearbrick di Thailand mungkin berbeza-beza dari puluhan ribu baht hingga beberapa ratus ribu, bergantung pada model.

Bernilai tinggi, mudah diangkut dan tidak dikawal, ia pilihan yang ideal untuk pengubahan wang haram, kata pakar.

Jamie Ferrill, ketua kajian jenayah kewangan di Universiti Charles Sturt, memberitahu berita ABC Australia bahawa tujuan pengubahan wang haram adalah untuk mengaburkan jejak antara wang dan sumber haramnya.

Beliau berkata nilai tinggi barangan mewah menjadikannya berguna untuk pengubahan wang haram.

"Jika Bearbrick bernilai katakanlah AS$100,000 (kira-kira RM469,977), sindiket pengubahan wang haram boleh membelinya dengan wang kotor mereka tanpa syak wasangka oleh sesiapa.

"Mereka boleh membuat koleksi dengan barangan bernilai tinggi ini dan akhirnya menjualnya," katanya.

Satu lagi sifat berharga barangan mewah ialah ia boleh diangkut, tambah Ferrill.

"Lebih mudah untuk memindahkan beg tangan atau Bearbrick yang lebih kecil merentasi sempadan daripada rumah atau kereta," katanya.

Pensyarah Universiti Nasional Australia Anton Moiseienko memberitahu ABC Australia bahawa dari perspektif pengubahan wang haram, Bearbrick adalah menarik kerana ia barang mahal dan sangat cair dalam pasaran yang tidak terkawal.

Bagaimanapun, beliau menambah pembelian barangan dengan hasil jenayah adalah menyalahi undang-undang, dan barang-barang itu masih boleh dirampas oleh polis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 3:16 PM