ZHANNA Samsonova. FOTO rawveganfoodchef/Instagram
ZHANNA Samsonova. FOTO rawveganfoodchef/Instagram
Agensi

Kuala Lumpur: Seorang pempengaruh vegetarian dari Rusia dilaporkan meninggal dunia akibat kelaparan dan keletihan selepas hanya menikmati buah eksotik, lapor Metro UK.

Media luar negara melaporkan Zhanna Samsonova meninggal dunia di Malaysia semasa lawatan ke beberapa negara di Asia Tenggara.

Wanita berusia 39 tahun itu atau lebih dikenali sebagai Zhanna D'Art di media sosial, mengamalkan diet ketat termasuk hanya makan buah, biji bunga matahari dan jus sahaja.

Seorang rakan memberitahu media Rusia, dia menggesa Zhanna mendapatkan bantuan perubatan.

Katanya, beberapa bulan lalu, Zhanna sudah kelihatan letih dengan kaki bengkak ketika berada di Sri Lanka.

"Mereka menghantarnya pulang untuk mendapatkan rawatan, namun dia kemudian menjelajah lagi.

"Apabila saya melihatnya di Phuket, saya berasa ngeri.

"Saya tinggal satu tingkat di atasnya dan setiap hari saya takut jika menemui dia tidak bernyawa pada waktu pagi. Saya meyakinkannya supaya mendapatkan rawatan, tetapi nampaknya tidak berjaya," katanya.

ZHANNA Samsonova. FOTO rawveganfoodchef/Instagram
ZHANNA Samsonova. FOTO rawveganfoodchef/Instagram

Keluarga Zhanna sedang menunggu laporan perubatan dan sijil kematian untuk mengetahui punca sebenar kematiannya.

Ibunya, Vera Samsonova memberitahu media tempatan, anaknya meninggal dunia pada 21 Julai lalu selepas dipercayai mendapat jangkitan seperti taun, hanya beberapa jam sebelum dia sepatutnya terbang pulang ke tanah air.

Selepas kematiannya tersebar, seorang pengikut mendakwa, Zhanna hanya makan durian dan nangka selama tujuh tahun.

Sebelum ini, Zhanna dipetik berkata, dia hanya menikmati makanan ringkas walaupun mempunyai banyak pengalaman sebagai tukang masak.

"Saya suka mencipta resipi saya sendiri dan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk makan dengan lebih sihat.

"Sejak empat tahun kebelakangan ini, diet saya hanya buah-buahan, pucuk biji bunga matahari, smoothie buah-buahan dan jus.

"Saya melihat badan dan minda saya berubah setiap hari. Saya suka diri saya yang baharu tetapi saya sangat sedih apabila melihat kebanyakan rakan makan makanan ringan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 12:37 PM