Yosdanai Bula. FOTO BERNAMA
Yosdanai Bula. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Narathiwat: "Kebimbangan ayah selama ini jadi kenyataan," kata Yosdanai Bula yang kehilangan lima ahli keluarga dalam insiden letupan di sebuah gudang penyimpanan mercun dan bunga api di wilayah Narathiwat, selatan Thailand pada Sabtu lalu.

Sukarelawan kampung yang berusia 36 tahun itu berkata ayahnya, 63, dua adik perempuan 28 dan 29 tahun serta dua anak saudara berusia empat tahun, serta lapan bulan antara 12 orang yang meninggal dunia dalam tragedi di Munok, Sg Kolok pada Sabtu.

"Ayah pernah memberi amaran kepada pemilik gudang supaya tidak menyimpan mercun dan bunga api di gudang itu yang terletak di kawasan kampung tetapi perkara itu tidak dipeduli.

"Ayah bimbang akan berlakunya perkara yang tidak diingini… Kerisauan ayah menjadi kenyataan. Dalam sekelip mata, saya kehilangan lima ahli keluarga tersayang," katanya kepada Bernama.

Beliau menambah bahawa dua hari sebelum kejadian tiga lori dilihat menghantar stok ke gudang.

"Penduduk kampung juga mengambil tindakan membuat laporan polis tetapi tiada tindakan diambil lagi," katanya.

Berkongsi saat-saat getir, Yosdanai berkata beliau yang berada kira-kira 500 meter daripada rumah bergegas pulang apabila mendengar letupan kuat.

"Saya hanya sempat menyelamatkan nenek saya. Letupan yang kuat menyebabkan rumah runtuh dan dijilat api," katanya.

Insiden pada 3.30 petang (waktu tempatan) di Mundok, Sungai Kolok telah meragut nyawa 12 orang dan mencederakan lebih 100 orang. Selain itu, lebih 200 rumah dan kedai, serta 15 kenderaan musnah. Jumlah kerugian dianggarkan 100 juta baht (sekitar RM13.29 juta).

Siasatan awal mendapati percilkan api daripada kerja-kerja kimpalan dipercayai menjadi punca letupan kuat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 9:52 PM