ANGGOTA polis mengawal di Kafe Rameshwaram, lokasi di mana berlaku letupan mengakibatkan lapan cedera semalam. FOTO AFP
ANGGOTA polis mengawal di Kafe Rameshwaram, lokasi di mana berlaku letupan mengakibatkan lapan cedera semalam. FOTO AFP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Tiada rakyat Malaysia terbabit insiden letupan bom yang mencederakan lapan orang di sebuah kafe di hab teknologi di Bengaluru, India, semalam.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, menurut pihak berkuasa tempatan, tiada rakyat negara ini khususnya pelajar terjejas insiden itu.

Menurutnya, ketika kejadian pelajar dilaporkan sedang menghadiri kuliah di kampus.

"Dalam konteks ini, semua rakyat Malaysia di Bengaluru digesa sentiasa mengikuti perkembangan terkini, mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi amaran perjalanan daripada pihak berkuasa tempatan.

"Selain itu, mengelakkan tempat sesak kerana siasatan berkaitan insiden masih berterusan," kata kenyataan itu.

Media semalam melaporkan, satu letupan di Kafe Rameshwaram di timur bandar berlaku pada waktu tengah hari apabila orang ramai dari pejabat yang berhampiran kafe terbabit sedang beratur untuk makan tengah hari.

Menurut polis, punca letupan tidak dapat diketahui segera dan pasukan pencegahan bom menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Rakaman video di televisyen menunjukkan tiang di dalam kafe terbabit rosak akibat kesan letupan.

Wisma Putra berkata, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular diminta menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai beralamat No.7 (Old No. 3), 1st Street, Cenotaph Road Teynampet, Chennai atau di talian 00914424334434/35/36 atau emel [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 4:14 PM