HANIM. FOTO YouTube
HANIM. FOTO YouTube
Agensi

Jakarta: Dibebani dengan timbunan hutang menyebabkan Hanim terdesak menjual buah pinggangnya kepada sindiket penyeludupan organ pada 2019, sebelum terjebak dalam sindiket itu.

Hanim berkata, menghubungi pentadbir kumpulan Facebook melalui Messenger pada 2018 untuk memberitahu niatnya menjual buah pinggangnya.

"Saya ada masalah kewangan. Ibu bapa saya kehilangan rumah, perniagaan saya tidak ke mana. Jadi saya mencari kumpulan penderma buah pinggang dalam talian.

"Tidak sangka pentadbir Facebook meminta saya menghubungi broker di Kabupaten Bogor, Jawa Barat, yang akhirnya membawa saya ke Phnom Penh bersama dua lagi warga Indonesia pada Julai 2019 untuk menjalani prosedur pemindahan organ," katanya seperti dilaporkan Straits Times.

Dia berkata, organnya dijual kepada pesakit dari Singapura

Katanya, selepas berjaya menyelesaikan masalah kewangan, dia bertindak menjadi orang tengah untuk rakyat Indonesia keluar dari masalah kewangan dengan menggunakan cara sama.

"Biasanya saya akan menghubungi sindiket itu di Facebook dan memberikan butiran peribadi mereka seperti umur, jantina dan jenis darah.

"Mereka kemudian akan berkumpul di sebuah rumah sewa di Bekasi sebelum mengambil penerbangan dari Jakarta atau Bali ke Phnom Penh, Kemboja, untuk pemeriksaan kesihatan di hospital tentera di sana.

"Sebaik sahaja lulus ujian kesihatan, mereka akan dipadankan dengan pembeli yang berasal dari pelbagai negara termasuk Singapura, Malaysia dan China," katanya.

Katanya, penerima organ perlu membayar AS$13311.47 (kira-kira RM60,813) untuk buah pinggang.

"Penjual akan bertemu pembeli, menandatangani perjanjian penderma dan menetapkan tarikh pembedahan pemindahan organ.

"Tiada sesiapa pun dibenarkan melawat mereka. Penjual akan dibayar selepas pemindahan selesai dan perlu tinggal di hospital kira-kira 10 hari untuk pulih," katanya kepada media televisyen tempatan dari Ibu Pejabat Polis Jakarta dalam video yang disiarkan di YouTube, pada Ahad lalu..

Awal bulan ini, polis Indonesia berjaya menumpaskan sindiket itu dengan menahan 12 individu termasuk suspek dan individu yang menjual buah pinggang mereka kepada sindiket.

Ketua Pesuruhjaya Polis, Hengki Haryadi berkata, penjual organ termasuk guru, pengawal keselamatan dan pelajar universiti.

"Kebanyakan daripada mereka sangat memerlukan wang, menjadikan mereka sasaran sindiket itu.

"Siasatan awal menunjukkan, pemerdagangan organ haram mungkin berlaku sejak sekian lama dan bukan satu-satunya sindiket.

"Kami akan terus mengambil tindakan untuk mewujudkan kesan pencegahan kepada pelaku dan menamatkan sindiket ini," katanya.

Dilaporkan, sindiket itu turut membabitkan seorang anggota polis dan seorang pegawai imigresen.

Semua suspek berdepan hukuman penjara 15 tahun dan denda sehingga 600 juta rupiah (RM182,590) kerana melanggar undang-undang pemerdagangan orang Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 1:44 PM