DUA beradik menunjukkan parut selepas menjalani pembedahan buah pinggang.
DUA beradik menunjukkan parut selepas menjalani pembedahan buah pinggang.
PENDUDUK Kavre lain menceritakan kisah mereka ditipu rangkaian pengedar buang pinggang.
PENDUDUK Kavre lain menceritakan kisah mereka ditipu rangkaian pengedar buang pinggang.
NAWARAJ Pariyar kini hidup sengsara.
NAWARAJ Pariyar kini hidup sengsara.
KEBANYAKAN mangsa masih menerima ancaman daripada penyeludup haram buah pinggang.
KEBANYAKAN mangsa masih menerima ancaman daripada penyeludup haram buah pinggang.
Susunan Siti Salmiah A Hamid


Lumrah jika anda melalui sepanjang jalan atau lorong di Kathmandu dan melihat orang mengemis bagi mendapatkan rawatan buah pinggang.

Organ buah pinggang mempunyai permintaan tinggi di Nepal dan pengedar haram memperoleh lebih 7,000 buah pinggang daripada penduduk negara itu setiap tahun.

Perdagangan organ secara haram menjana keuntungan antara RM1.8 hingga RM355 bilion setahun.

Jeet Bahadur Magar dan isterinya menghabiskan wang simpanan dan mengemis di Kathmandu untuk merawat penyakit buah pinggang anak lelaki mereka.

“Saya berdoa agar tiada sesiapa melalui masalah kegagalan buah pinggang,” kata Jeet Bahadur. Bagaimanapun, ramai penduduk Nepal menghadapi masalah itu.

Pusat Buah Pinggang Nepal di Kathmandu penuh sesak dengan pesakit yang mahu menjalani rawatan dialisis, proses yang melelahkan kerana mengambil masa selama empat jam untuk membersihkan darah.

Pesakit boleh mengelak pemindahan buah pinggang dengan melakukan rawatan dialisis sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

Nepal ‘bank buah pinggang’

Kavre, sebuah daerah kecil berhampiran Kathmandu dikatakan pusat penyeludup menjalankan aktiviti perdagangan organ secara haram di Nepal.

Pusat penyeludupan buah pinggang itu diurus dengan baik tetapi mereka menipu golongan miskin dan tidak berpendidikan melalui pemberian intensif.

Daerah itu dikenali ‘bank buah pinggang Nepal’. Selama lebih 20 tahun penduduk dari perkampungan di Kavre menjadi sumber utama buah pinggang di Nepal.

Menurut Forum Perlindungan Hak Rakyat, dalam tempoh lima tahun lalu, lebih 300 orang dilaporkan menjadi mangsa pengedar buah pinggang di daerah ini.

‘Daging itu akan tumbuh semula’

Nawaraj Pariyar antara mangsa pengedar buah pinggang.

Seperti orang lain di Kavre, Pariyar hidup dengan menjual susu lembu dan melakukan kerja buruh bermusim di ladang berhampiran. Miskin dan tidak berpendidikan, dia hanya memiliki dua ekor lembu, rumah dan sebidang kecil tanah.

Pariyar akan pergi ke Kathmandu untuk mencari kerja pembinaan. Dia berada di kawasan pembinaan pada tahun 2000 apabila mandur mendekatinya dengan tawaran meragukan iaitu jika doktor membuang ‘ketulan daging’ daripada badannya, dia akan diberikan 30 lakhs iaitu kira-kira RM106,098.

Apa yang dia tidak diberitahu adalah sekeping ‘daging’ itu adalah buah pinggangnya.

“Mandur memberitahu saya, daging itu akan tumbuh semula.

“Jadi, saya fikir, jika daging itu akan tumbuh semula dan saya menerima kira-kira RM106,098, mengapa tidak saya melakukannya?

“Tetapi, bagaimana jika saya mati?” Pariyar masih ingat ketika bertanya kepada mandur itu.

Mandur memberi jaminan tiada apa yang akan berlaku. Dia diberikan makanan dan pakaian yang baik, malah dibawa menonton filem.

Kemudian Pariyar diiringi ke sebuah hospital di Chennai, selatan India.

Pengedar menetapkan nama palsu untuk Pariyar dan memberitahu hospital dia adalah saudara kepada penerima. Menurut Pariyar, pengedar mempunyai semua dokumen palsu dan bersedia untuk memalsukan identitinya.

“Di hospital, doktor bertanya kepada saya jika penerima adalah saudara perempuan saya. Saya diberitahu pengedar untuk mengatakan ya. Jadi saya mengakuinya.

“Berulang kali saya dengar mereka menyebut kidney (buah pinggang). Tetapi saya tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan kidney itu. Saya hanya tahu Mirgaula (istilah Nepal untuk buah pinggang.)

“Oleh kerana saya tidak tahu bahasa tempatan, saya tidak dapat memahami apa-apa perbualan antara pengedar dan kakitangan hospital,” kata Pariyar.

Pariyar dibenarkan keluar dan dihantar pulang dengan kira-kira RM700 iaitu kurang satu peratus daripada jumlah yang dipersetujui dan janji yang dia akan menerima selebihnya tidak lama lagi.

Beliau tidak lagi menerima apa-apa wang dan tidak pernah bertemu ahli sindiket itu lagi.

“Selepas saya pulang ke Nepal, saya berasa ragu-ragu. Oleh itu, saya berjumpa doktor. Ketika itulah saya dapati saya kehilangan buah pinggang,” ujar Pariyar.

Pariyar kini sakit dan semakin teruk dari sehari ke sehari. Dia mempunyai masalah kencing dan sakit belakang yang kronik.

Bagaimanapun, dia tidak mampu berjumpa doktor dan takut akan mati.

“Jika mati, saya berharap kerajaan akan menjaga dua orang anak saya,” kata Pariyar.

Kemiskinan dan tiada pelajaran antara punca utama kebanyakan penduduk di Nepal terutama yang tinggal di kawasan pedalaman diperdaya sindiket itu.

Rangkaian di India

Pengedar menggunakan rakan subahat dalam pelbagai peringkat proses.

Pertama, seseorang akan menghampiri mangsa, seorang lagi akan membuat dokumen palsu penderma dan mengiringi penderma ke hospital.

Beberapa hospital di Nepal melakukan pemindahan buah pinggang. Doktor di Nepal tahu kebanyakan ­pesakit yang berkemampuan dan kaya lebih suka pergi ke seberang sempadan di India.

“Mereka ingin dapatkan perkhidmatan yang lebih baik, mereka mahukan doktor India. Sebab itulah mereka pergi ke hospital di India,” kata Pengarah Pusat Buah Pinggang Kebangsaan, Dr Rishi Kumar Kafle.

Bagaimanapun, aktivis mempunyai penjelasan lain mengenai permintaan untuk membuat pembedahan di India.

“Adalah sukar untuk membuat pemeriksaan mengenai rekod Nepal di seberang sempadan. Justeru, pengedar lebih suka membawa penderma ke India,” kata Ghimire.

Sebelum pembedahan buah pinggang di India, hospital memerlukan Sijil Tiada Bantahan iaitu surat yang digubal oleh Kedutaan Nepal di New Delhi bagi mengesahkan penderma sebagai saudara penerima buah pinggang.

Gambar penerima dan saudara serta bakal penderma yang sah tidak dimasukkan dalam surat itu sehinggalah baru-baru ini.

Semenjak hospital India menerima dokumen rasmi Nepal, sesiapa saja boleh muncul di hospital dengan kertas yang mengatakan mereka ingin mendermakan buah pinggang.

Aktivis berkata, ini adalah kelemahan yang digunakan pengedar selama bertahun-tahun.

Dengan kemudahan menyediakan dokumen palsu, pengedar boleh mengalahkan sistem.

Sewaktu Kerajaan Nepal cuba untuk memperketatkan polisi, pegawai polis Nepal cuba melumpuhkan rang­kaian jenayah itu.

Tahun lalu pihak berkuasa menahan 10 orang yang dituduh menyeludup organ di Kavre. Kes mereka masih dibicarakan di mahkamah.

Sub-Inspektor Dipendra Chand yang mengetuai siasatan polis berkata, untuk menghentikan perdagangan haram itu adalah sukar.

“Jika kita mematahkan tindakan mereka dalam sebuah kampung, dengan mudah pengedar akan bergerak ke tempat lain,” kata Chand.

Rajendra Ghimire mengatakan, rangkaian penyeludupan kini bergerak di luar Kavre.

“Kami mempunyai laporan mengenai masalah ini yang mula berkembang ke sekitar daerah lain juga,” kata Ghimire.

Perhatian kepada masalah ini semakin berkembang di Kavre. Kisah penyeludupan buah pinggang menjadi tajuk utama akhbar tempatan dan nasional.

Bagaimanapun, bagi mangsa seperti Pariyar dan mereka yang senasib dengannya, perhatian media sudah terlambat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 2:59 PM