PULAU peranginan Bali dibuka untuk kunjungan pelancong antarabangsa. - AFP
PULAU peranginan Bali dibuka untuk kunjungan pelancong antarabangsa. - AFP
BERNAMA

Jakarta: Pulau peranginan Bali akan dibuka untuk kunjungan pelancong antarabangsa, mulai hari ini.

Pengerusi Persatuan Hotel dan Restoran Indonesia, Hariyadi Sukamdani berkata, sebanyak 8,000 bilik di 35 hotel bertaraf tiga bintang sehingga lima bintang tersedia untuk penginapan dan kuarantin.

Beliau berkata, pihaknya sudah melakukan persediaan dengan penuh berhati-hati, sepanjang tempoh 19 bulan sebelum ini.

"Kami sudah bersedia untuk menerima kunjungan pelancong antarabangsa," katanya.

Hariyadi menjangkakan, pada peringkat awal, sebanyak 2,000 bilik dijangka digunakan, tetapi jumlah itu diramal meningkat apabila lebih ramai pengunjung melawat pulau itu.

Beliau berkata, sektor pelancongan di Bali semakin pulih dengan kedatangan pelancong domestik ke pulau itu dengan kadar penginapan meningkat sehingga 35 peratus.

Perkembangan terbaharu ini diumumkan ketika Indonesia merekodkan penurunan mendadak kes harian Covid-19.

Selain itu, pihak berkuasa sudah mengumumkan kelonggaran sekatan pergerakan, pembukaan kompleks beli-belah, pawagam dan restoran.

Kerajaan Indonesia juga memperhebat program vaksinasi Covid-19.

Timbalan Gabenor Bali, Tjokorda Oka Sukawati berkata, ribuan tarikan pelancongan di pulau itu akan beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Sementara itu, 99.9 peratus daripada penduduk Bali sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 dan 80 peratus lagi menerima dua dos.

Sukawati berharap dengan pembukaan semula pulau peranginan itu akan memulihkan sektor pelancongan yang sebelum ini menyumbang 53 peratus pendapatan wilayah itu pada 2019.

Dalam pada itu, Menteri Penyelaras Maritim dan Hal Ehwal Pelaburan Indonesia, Luhut Binsar Pandjaitan berkata, pelancong asing yang dibenarkan ke Bali adalah dari negara berisiko rendah.

Ia bermaksud kadar positif kes Covid-19 di negara berkenaan adalah kurang lima peratus dan pelancong perlulah sudah lengkap divaksin.

Beliau berkata, ujian saringan perlu menunjukkan mereka negatif Covid-19, yang dilakukan 72 jam sebelum ketibaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 7:02 AM