PENGAWAL keselamatan Bali mengawal laluan ke pantai di Kuta berhampiran Denpasar, Bali, 29 Mei lalu. FOTO AFP
PENGAWAL keselamatan Bali mengawal laluan ke pantai di Kuta berhampiran Denpasar, Bali, 29 Mei lalu. FOTO AFP
BERNAMA

INDUSTRI pelancongan di Pulau Bali, Indonesia yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, dikhuatiri meningkatkan lagi kes sakit jiwa dan kecenderungan membunuh diri dalam kalangan warga pulau itu yang bergantung sepenuhnya dengan sektor pelancongan.

Anggota Dewan Perwakilan Daerah Bali, Made Mangku Pastika, dipetik laporan agensi berita Antara berkata, majoriti penduduk Bali terlibat dengan sektor pelancongan secara langsung dan tidak langsung, kini terkesan akibat hilang pekerjaan serta sumber pendapatan.

"Apa lagi sejarah masyarakat kita (Bali) itu nekad. Kalau sudah buntu, fikir tagihan hutang yang banyak, tidak ada kepastian apa yang boleh dilakukan, solusinya cuma satu, bunuh diri...," katanya.

Tiada angka terkini berapa ramai mengalami sakit jiwa di Bali, namun menurut media tempatan Jawa Pos, Pulau Bali mencatatkan jumlah tertinggi di Indonesia sejak 2010.

Berdasarkan data 2018, lebih 46,000 daripada 4.2 juta penduduk Bali mengalami sakit jiwa, disebabkan masalah ekonomi dan keturunan.

Menurut data Badan Pusat Statistik Indonesia (BPS), jumlah pelancong luar ke Pulau Bali sejak 2014 melebihi empat juta, namun pada Februari lalu ia mencatatkan penurunan mendadak kepada kurang 300,000.

Penurunan itu berlaku sebelum kerajaan Indonesia menguatkuasakan larangan pelawat luar memasuki negara ini pada Mac lalu, berikutan pandemik Covid-19 dan larangan itu masih berkuat kuasa sehingga kini.

Menurut Kementerian Tenaga Kerja Indonesia sebelum ini, dikhuatiri lebih 23 juta hilang pekerjaan di Indonesia dan antara sektor paling terjejas ialah pelancongan.

Pandemik Covid-19 turut menyebabkan lebih 1,200 hotel di seluruh Indonesia termasuk di pulau Bali, terpaksa ditutup dan tidak dapat beroperasi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2020 @ 6:45 PM