POLIS Thailand membawa keluar peti sejuk yang dijadikan tempat simpanan mayat ahli perniagaan Jerman, Hans Peter Ralter Mack, 62. Mangsa dibunuh sebelum dipotong kepada beberapa bahagian. FOTO Agensi
POLIS Thailand membawa keluar peti sejuk yang dijadikan tempat simpanan mayat ahli perniagaan Jerman, Hans Peter Ralter Mack, 62. Mangsa dibunuh sebelum dipotong kepada beberapa bahagian. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Polis Thailand sudah menahan beberapa suspek yang didakwa terbabit dalam kes culik dan bunuh seorang ahli perniagaan Jerman berusia 62 tahun, pada Selasa lalu.

The Straits Times melaporkan tangkapan dibuat pada awal pagi Selasa itu selepas polis menemui mayat Hans Peter Ralter Mack yang dipotong beberapa bahagian dan diletakkan di dalam peti sejuk beku di sebuah kediaman di Kampung Chokchai Garden Home 1, di Chon Buri.

Mereka yang ditahan ialah warga Jerman, Petra Christl Grundgrief dan Olaf Thorsten Brinkmann.

Seorang suspek masih diburu berbangsa Pakistan dan mempunyai kewarganegaraan Thailand, Zahrouk Kareen Uddin.

Grundgrief ditangkap di sebuah kondominium di Pattaya Selatan, manakala Brinkmann ditahan di Bangkok dan dibawa ke Balai Polis Nongprue di Chon Buri.

Timbalan Ketua Polis Negara, Mejar Jeneral Surachate Hakparn berkata, pihaknya masih mengesan Zahrouk.

Menurutnya, suspek adalah sebahagian daripada ahli dalam rangkaian jenayah rentas negara membabitkan urus niaga dadah yang menggunakan Thailand sebagai pangkalan untuk aktiviti itu.

Difahamkan, kumpulan itu sudah bersiap sedia kira-kira sebulan untuk melakukan rompakan terhadap Mack, membabitkan jumlah sebanyak tiga juta baht (kira-kira RM399,505).

Sementara itu, seorang lagi suspek warga Jerman dikenali sebagai Enrico ditahan kerana mengendalikan akaun jenayah untuk menerima pemindahan wang tunai daripada mangsa.

Sehubungan itu, Surachate berkata, polis akan mengeluarkan waran tangkap terhadap lebih ramai pengendali akaun jenayah kerana percaya mereka masih berada di Thailand.

Beliau mengarahkan polis dan imigresen untuk menangani semua rangkaian jenayah rentas negara di Pattaya dan daerah Nong Prue bagi mengelak kes penculikan itu berulang.

Dalam kes berkaitan, seorang lagi suspek adalah wanita orang kurang upaya (OKU) Jerman, Nicole Frevel, yang menyewa kediaman di mana mayat Mack ahli perniagaan Jerman itu ditemukan.

Frevel memberitahu polis bahawa Brinkmann membawa peti sejuk ke kediamannya dan mengugutnya apabila dia bertanya apa kandungan di dalam peti sejuk itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 12:54 PM