UMAT Islam menunaikan solat di Masjidilharam, Makkah. FOTO fail AFP
UMAT Islam menunaikan solat di Masjidilharam, Makkah. FOTO fail AFP
BERNAMA

Madinah: Berikutan cuaca panas ketika ini, Tabung Haji (TH) menyusun jadual aktiviti ziarah jemaah haji ke tempat bersejarah di sini pada sebelah pagi.

Pengurus Ibadat dan Ziarah sektor Madinah Muhammad Fakhrur Ridzwan Othman berkata, ini bagi memastikan bakal haji tidak terdedah kepada suhu panas dalam tempoh lama.

"Kita akan cuba untuk percepatkan perjalanan bergantung kepada situasi trafik dan hal-hal semasa," katanya kepada pemberita di sini.

Semalam, kumpulan pertama 284 jemaah haji Malaysia musim 1444 Hijrah selamat tiba di Madinah dan jemaah hari ini mula melakukan ziarah dalam iaitu menziarahi makam Nabi Muhammad SAW dan perkuburan Baqi.

Secara keseluruhan sebanyak 98 penerbangan membawa 31,600 bakal haji akan bertolak secara berperingkat sama ada ke Madinah atau Makkah, dengan penerbangan terakhir musim haji kali ini pada 21 Jun depan.

Sementara itu, Muhammad Fakhrur Ridzwan berkata, TH akan menyantuni segala persoalan mengenai ibadat umrah dan haji melalui pelbagai platform bagi memastikan jemaah mendapat informasi yang tepat.

Katanya, bagi sektor Madinah, lapan pembimbing ibadat bertugas bagi membantu jemaah dari segi persoalan agama.

Beliau berkata, jemaah haji juga boleh menggunakan aplikasi e-Bimbingan Haji bagi membantu mereka mempelajari ilmu berkaitan haji dengan lebih mudah secara dalam talian.

Selain itu katanya, bakal haji juga boleh mendapatkan jawapan kepada persoalan ibadah haji menerusi e-Taib, platform pertanyaan menerusi aplikasi WhatsApp dan Talian Ibadah Haji (Taib) menerusi panggilan telefon.

Menurutnya, permasalahan mengenai dam (bayaran denda) dan fiqh (ilmu mengenai hukum hakam) wanita dalam ibadat umrah dan haji menjadi antara soalan lazim sering dibangkitkan jemaah haji negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 3:43 PM