SEIICHI Sano dinobatkan sebagai peluncur air tertua. FOTO Agensi
SEIICHI Sano dinobatkan sebagai peluncur air tertua. FOTO Agensi
Agensi

Tokyo: Lelaki berusia 89 tahun dari Jepun, Seiichi Sano dinobatkan sebagai peluncur air tertua yang berjaya 'menakluk ombak' pada usia emas itu.

The Indian Express melaporkan, kehebatan lelaki tua namun gagah itu dibuktikan pada usianya 88 tahun dan 288 hari, dengan rekodnya disahkan pada 8 Julai 2022.

Sebelum aksi ekstrem dalam sukan luncur air itu dilakukannya, Sano juga sudah menakluki Gunung Fuji iaitu gunung tertinggi di Jepun.

Dilahirkan di Hokkaido pada 23 September 1933, Sano berpindah ke Tokyo untuk menghadiri sekolah telegraf tanpa wayar selepas menamatkan sekolah menengah.

Selepas tamat sekolah, dia melakukan pelbagai jenis pekerjaan, termasuk sebagai penjaga pintu di kelab malam.

"Saya tidak mempunyai apa-apa dalam resume saya, dan saya tidak mempunyai sesiapa untuk menyokong saya. Jadi saya terpaksa memikirkan perkara sendiri. Saya tidak takut, walaupun sukar," katanya.

Dia akhirnya menceburi industri perkayuan dan memulakan perniagaannya sendiri.

Bagaimanapun, menjadi ketua dalam perniagaan kecil diusahakan, mengekang masa untuk meneruskan minat dan hobinya sehingga dia berumur kira-kira 80 tahun.

Dalam kehidupan seniornya, Sano akhirnya cuba mendaki Gunung Fuji sebelum mencuba meluncur ombak.

"Saya ada berurusan dengan pengurus bank. Saya fikir dia juga mungkin pemain golf, tetapi apabila saya bertanya kepadanya, dia berbisik kepada saya, 'Saya meluncur ombak'," katanya apabila ditanya siapa sumber inspirasinya.

Dia menambah: "Orang ramai memberitahu saya melayari papan luncur membelah ombak adalah berbahaya, tetapi saya mempunyai detik yang jauh lebih menakutkan di dalam kereta daripada di papan luncur!"

Walaupun Sano bukan peluncur profesional dan tidak berminat untuk menguasai kemahiran itu tetapi antara kegemarannya ialah melompat 180 darjah di atas papan luncur.

"Melakukannya (meluncur) selama tiga hari, kemudian berehat, dan melakukannya lagi selama tiga hari, dan seterusnya.

"Saya diberitahu saya bodoh. Tetapi ia tidak mengganggu saya kerana saya selalu menganggap orang yang mengatakan perkara seperti itu adalah bodoh. Saya tidak sempurna, tetapi tidak terlalu teruk juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 8:58 AM